Monday, June 15, 2015

Siapa Wahabi ?

SIAPA WAHABI?

Wahabi bukan kerana mereka tidak membaca Qunut Subuh, kerana tiga Mazhab lain tidak pun membaca Qunut Subuh, itu khilaf mazhab; bukan juga kerana tidak buat kenduri arwah kerana ada Qawl dalam Mazhab Shafie yang tidak menggalakkannya, bukan juga kerana itu dan ini tetapi Wahabi adalah satu cara berfikir yang salah yang membentuk satu gerakan ekstrem yang boleh memecahbelah masyarakat. Kemuncak ekstrem dan radikal Wahabisme boleh sehingga membawa pertumpahan darah seperti IS,ISIL, ISIS, al-Qaeda, Taliban...semua itu adalah didikan Wahabi. Dakyah Wahabi berjaya menarik ramai pengikut kerana slogan menarik mereka yang menyeru kononnya jangan "taqlid", jangan "mengikut membuta tuli"; menyeru kononnya "kembali kepada Al-Quran dan al-Sunnah".

[1] Wahabi sebenarnya adalah gerakan MEMBIDAAHKAN amalan orang lain yang tidak sehaluan dengan mereka dan merasakan hanya amalan mereka sahaja yang betul. Hanya mereka sahaja kononnya mengikut "Sunnah". Mereka kelompok manusia yang tidak boleh berbeza pandangan, tidak menghormati ikhtilaf atau khilafiyyah (perbezaan pendapat di kalangan ulamak). Wahabi menolak bahawa Bid'aah ada dua bentuk (i) Baik (Hasanah) dan (ii) Sesat (Dolalah). Bagi Wahabi semua Bid'aah sesat dan masuk neraka. Oleh itu setiap Bid'aah adalah mungkar dan bagi mereka wajib ditentang. Lalu mereka membesarkan perbezaan pendapat dan membikin kecoh seluruh dunia tanpa boleh berlapang dada. Pra-syarat menjadi Wahabi ialah kena memperbanyak menuturkan "BID'AAH" terhadap amalan orang lain dan menjadikan ianya "wirid" harian.

[2] Wahabi MELARANG BERAMAL apabila tiada nas khusus untuk amalan tersebut walaupun di sana ada perintah umum daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Bagi Wahabi setiap ibadat kena ada nas dan dalil, walhal perintah yang bersifat umum sudah ada namun mereka menolaknya. Wahabi marah membaca Surah Yasin malam Jumaat kerana tiada nas. Bukankah perintah memperbanyakkan membaca al-Quran sudah cukup banyak dan memadai? Adakah nas melarangnya pula? Tiada larangan.

[3] Wahabi adalah gerakan MENSYIRIKKAN orang lain: tawassul bagi mereka syirik kecuali tawassul dengan amalan soleh, dan dengan Asmaul Husna saja. Walhal para Sahabat dan Salafus Soleh bertawassul dengan pelbagai bentuk lain;

[4] Wahabi gerakan MENTAJSIMKAN Allah SWT mensifatkan Allah "bertangan", "duduk" atas Arasy, "ketawa", Allah di atas langit. Wahabi menolak takwil yang dibawa oleh manhaj Ashairah dan Maturidiyyah sedangkan manhaj Ashairah itu lebih selamat dari mensifatkan Allah dengan sifat makhluk.

[5] Wahabi juga gerakan MENTADHA'IFKAN hadith dan MEMARDUDKAN hadith dhaif, menolak penggunaan hadith-hadith dhaif dan membakulsampahkan semua hadith-hadith dhaif. Sedangkan sejak seribu tahun lebih para ulama hadith membenarkan penggunaan hadith dhaif dalam hal fadhailul 'amal dan targhib wa tarhib. Kiblat rujukan hadith Wahabi ialah Sheikh Nasruddin Al-Albani. Mereka tidak sedar mereka bertaqlid dan mengikut membuta tuli apa sahaja takhrij hadith oleh al-Albani. Ulama rujukan Wahabi pula ialah sekalian "kibarul ulama" Saudi hari ini manakala kitab-kitab rujukan Wahabi ialah kitab karangan Muhammad Abdul Wahab. Mereka membutakan mata dan memekakkan telinga apabila didatangkan hujah daripada para ulamak lain yang muktabar namun tidak sealiran dengan mereka.

[6] Wahabi gerakan MEMBURUKKAN ahli Sufi dan tasawuf. Mereka secara terpilih memetik yang mana sesuai dengan fikrah mereka kitab-kitab Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim, Al-Dhahabi, al-Syawkani khususnya di bab memburuk dan mencemuh para Sufi kerana Wahabi gerakan anti-Sufi. Walhal Ibn Taymiyyah sendiri adalah pengikut tarekat Qadiriyyah. Wahabi Malaysia ada yang mengatakan tasawuf lebih kotor daripada air longkang. Sedangkan Sufi ada yang baik dan ada yang sesat sepertimana umat Islam yang lain juga amnya: ada yang Soleh, ada Munafik dan ada yang berdosa. Sufi juga tidak maksum. Bahkan Imam Ghazali sendiri turut mengkritik "Sufi palsu" walaupun beliau sendiri seorang ahli Sufi.

[7] Wahabi MENOLAK Imam al-Ghazali ra dan jarang dengar mereka mengutip kalam Imam al-Ghazali ra. Bagi mereka Imam al-Ghazali ra Hujjatul Islam itu jahil hadith.

Itulah Wahabi, dan jangan terkeliru dengan suara-suara membela Wahabi walaupun mereka malu mengaku diri mereka Wahabi. Ada ketikanya mereka cuba menyembunyikan punca kenapa mereka digelar Wahabi, kononnya Wahabi itu "hantu", "momok" dan tidak wujud. Kenal dulu ciri-ciri Wahabi maka tahulah anda siapa pendokong mereka.

Kalau yang melenting apabila Negeri Sembilan mengharamkan Wahabi, hampir pasti 99.9% mereka pendokong tegar Wahabi (yang malu mengaku). Hati-hati dengan mereka ini walaupun petah berbicara, dan mulut penuh dengan ayat-ayat al-Qur'an dan al-Hadith. Ada Wahabi Malaysia yang sangat terkenal dan bicara memukau sehingga ramai orang awam tertipu. Dengan pengharaman Wahabi di Negeri Sembilan dan Perak, moga-moga makin ramai yang sedar dan makin jelas siapa pendokong Wahabi sebenar yang bertopeng dan begitu licik selama ini. Jangan terkejut jika ustaz yang anda kagumi selama ini itu sebenarnya mungkin pendokong Wahabi.

Hanya jauhari yang kenal manikam.
اعرف الحق تعرف أهله

Nota tambahan :

Malang, bila orang yang tidak tahu kenapa Wahhabi dipanggil Wahhabi terpedaya dengan apa yang kelihatan baik. Malah Rasulullah SAW telah menerangkan peri hebatnya ibadah golongan ini... Solat dan puasa kita jadi kerdil dan tiada apa2 nya berbanding solat dan puasa mereka... Bahkan rajin pula membaca Al-Quran... Namun mereka bukan orang yang baik di sisi syarak, cepat meluncur keluar daripada ikatan agama sepantas meluncur keluar anak panah daripada busurnya... Perhatikan sabda Baginda RasuluulLah SAW 


يخرُجُ فيكم قومٌ تَحقِرونَ صلاتَكم معَ صلاتِهم ، وصيامَكم معَ صيامِهم ، وعملَكم معَ عملِهم ، ويقرَؤونَ القرآنَ لا يُجاوِزُ حناجِرَهم ، يَمرُقونَ منَ الدينِ كما يَمرُقُ السهمُ منَ الرمِيَّةِ ، ينظُرُ في النصلِ فلا يَرى شيئًا ، وينظُرُ في القدحِ فلا يَرى شيئًا ، وينظُرُ في الريشِ فلا يَرى شيئًا ، ويَتَمارى في الفوقِ

Wahhabi ini bukan satu label yang sesuka hati kita labelkan kepada sesiapa yang berbeza pendapat dengan kita. Ada yang berbeza pendapat dengan kita dalam bab fiqh namanya Hanafi, adakalanya Maliki, adakalanya Hanbali dan tidak jarang Wahhabi. Ada yang berbeza pegangan dengan kita dalam perkara asas i'tiqad namanya Muktazili, adakalanya Syiiee, adakalanya khaariji dan tidak jarang Wahhabi (ulama2 4 mazhab ramai yang menggolongkan Wahhabi di bawah kumpulan Khawaarij berdasarkan pegangan2 takfiri mereka. Wahhabi di dalam Bahasa Arab dieja  وهابي. Huruf ي di hujung itu namanya Yaa nisbah dan di dalam konteks ini bermakna pengikut kepada Ibn Abdul Wahhab iaitu pengasas gerakan Wahhabi. Apabila seseorang mengikut pegangan Ibn Abdul Wahhab di dalam perkara2 yang masyhur seperti mengkafir musyrikkan ummat Islam yang bertawassul, membid'ah sesatkan ummat Islam yang membaca qunut Subuh, bertalqin, bertariqat dsb maka orang-orang itu disebut Wahhabi iaitu pengikut Muhammad Ibn Abdul Wahhab sebagaimana pengikut Imam Ahmad Ibn Hanbal disebut Hanbali. Bab Wahhabi ni banyak kena mengaji baru kita dapat faham dan tidak over-sensitive dengan maklumat2 baru. Wahhabi cuma merujuk kepada pengikut pegangan dan manhaj pengasas gerakan ini iaitu Muhammad bin Abdul Wahhab sedangkan yang dilabelkan oleh Wahhabi kepada ummat Islam yang lain mempunyai implikasi yang sangat buruk dan memporak perandakan perpaduan dan malah nyawa dan keselamatan. Kita digelar Ahli bida' wal hawa (pengikut bid'ah dan hawa nafsu) kafir, musyrik dll sehingga terjadi seperti yang dilakukan oleh ISIS menyembelih dan membunuh ummat Islam sesyahadah kerana dianggap murtad. Jangan terpedaya dengan luaran yang cantik sedangkan pegangan lari daripada apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda radhialLaahu 'anhum.

والله سبحانه وتعالى أعلم، وهو يهدي من يشأ إلى طريق الهدى والسلام

No comments:

Post a Comment