Monday, June 15, 2015

Mengenali Tariqat Naqshbandiyya An-Nazimiyya Al-Aliya

MENGENALI TARIQAT NAQSHBANDIYYA  AN-NAZIMIYYA AL-ALIYYA

Sumber:
1. www.naqshbandi.org
2. The Naqshbandi Sufi Way

Tariqat Naqshbandiyya Nazimiyya adalah berdasarkan ajaran imam ke-40 dalam Silsilah Rantai Emas Naqshbandi, Shaykh Nazim Adil Al-Haqqani. Misi Tariqat Naqshbandiyya an-Nazimiyya adalah untuk menyebarkan ajaran sufi tentang persaudaraan umat manusia. Usaha diarahkan untuk membawa spektrum pelbagai agama dan jalan spiritual menuju keharmonian dan kerukunan, sebagai pengakuan atas tanggung jawab manusia sebagai penjaga planet yang rapuh ini dan penjaga antara satu sama lain.

Cara Tariqat Naqshbandi adalah cara para sahabat Nabi SAW dan orang-orang yang mengikuti mereka. Jalan ini terdiri dengan ibadah yang terus-menerus dalam setiap tindakan, sama ada luaran mahupun dalaman, dengan disiplin yang lengkap dan sempurna sesuai dengan Sunnah Nabi SAW yang terdiri dalam mempertahankan amalan tingkat tertinggi dan meninggalkan semua inovasi sepenuhnya dan semua tafsiran bebas dalam kebiasaan awam dan tingkah laku peribadi. Ia dibentuk dengan menjaga kesedaran akan Hadirat Allah, Azza wa Jalla, dalam perjalanan menuju penghapusan diri dan pengalaman sempurna dalam Hadirat Ilahi. Ia adalah Jalan refleksi yang lengkap bagi kesempurnaan tingkat tertinggi. Ia adalah Jalan menyucikan diri dengan cara perjuangan yang paling sukar, iaitu perjuangan melawan diri sendiri. Ia dimulai di mana jalan-jalan lain berakhir, dengan tarikan Cinta Ilahi yang sempurna, yang dianugerahkan kepada sahabat pertama Nabi SAW, Abu Bakar as-Siddiq RA.

Penjelasan Isu Islam dan tasawuf:

Islam bermaksud menyerah kepada Kehendak Allah dan menerima bahawa tidak ada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad SAW itu pesuruh Allah, selawat dan salam ke atasnya, seperti juga Nabi Isa, Nabi Musa, Nabi Ibrahim, Nabi Nuh dan Adam Alayhimu Solatu Wa-Salam.

Keimanan menurut Islam adalah beriman kepada:

Allah, Tuhan Yang Maha Esa
Kewujudan makhluk ghaib iaitu para malaikat
Ayat-ayat Allah (Kesaksian-kesaksian), Zabur diturunkan kepada Daud, Taurat diturunkan kepada Musa, Injil kepada Isa dan Al-Quran yang dibawa kepada Muhammad Alayhimus Solatu Wa Salam
Semua para nabi yang telah diutus sebagai rahmat kepada manusia
Hari pembalasan dan Kebangkitan
Qada' dan Qadar

Tasawuf ialah jalan membersihkan hati daripada perlakuan dan sifat-sifat yang buruk. Ia adalah jalan kerohanian yang wujud dalam Islam. Maksudnya adalah:

Mencari keredhaan Allah
Kasih sayang dan perdamaian dalam diri sendiri
Keharmonian terhadap semua ciptaan (manusia, haiwan, dan alam semula jadi)
Untuk bersifat dengan sifat-sifat indah para Nabi dan orang-orang Soleh

Seseorang itu memasuki Islam dengan beriman dalam hati akan kewujudan Tuhan yang Esa, Allah SWT dan beriman kepada Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atasnya) sebagai penutup para Nabi yang Allah utuskan sepanjang sejarah manusia.

Shaykh adalah seseorang yang telah mewarisi apa yang dibawa oleh para Nabi dan diberi autoriti untuk menyampaikan ajaran dan rahsia kepada mereka yang mengambilnya sebagai guru. Seorang Shaykh yang sebenar adalah seseorang yang telah menakluki sifat buruk dirinya melalui ketaatan dan keikhlasan terhadap Tuhan-Nya. Atas sebab itu dia mampu membimbing murid-murid untuk menakluki diri mereka sendiri, membuka jalan untuk mencapai potensi realiti ruhani mereka yang tidak terhad.

Kaedah utama untuk mencapai kemajuan rohani dalam tasawuf ialah menuruti panduan dan arahan seseorang Shaykh atau pembimbing yang berautoriti. Melakukan zikir, mengingati Allah, dengan membaca Nama-Nama Sucinya, memuliakan-Nya dan memuji Pencipta semua makhluk. Menghadiri majlis nasihat dan zikir yang diadakan di hadapan Syaikh atau wakilnya; duduk bersama-sama, berdoa bersama-sama, menyambut semua yang datang untuk memuji Tuhan mereka, Allah SWT.

Daripada sudut Sejarah, Tariqat Naqshbandi dapat ditelusuri kembali kepada Khalifah yang pertama, Abu Bakar as-Siddiq (RA, yang mewarisi daripada Rasulullah SAW dalam pengetahuan dan perananya dalam membimbing Umat Islam. Allah berfirman dalam Al-Qur'an "Dia adalah yang kedua di dalam gua, dan dia berkata kepada sahabatnya: jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita "[09:40]. Nabi SAW bersabda mengenainya, "Jika aku perlu mengambil untuk diriku seorang kekasih, aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasih; tetapi dia adalah saudaraku dan sahabatku."

Perkara yang menyebabkan Tariqat Naqshbandi menjadi masyhur ialah kerana dasar dan prinsip-prinsipnya diteladani daripada enam bintang  yang bergemerlapan dalam tariqat ini iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Salman al-Farisi, Ja'far as-Sadiq, Bayazid Tayfur al-Bistami, Abdul Khaliq al-Ghujdawani Qaddasallahu Sirrahu, dan Muhammad Baha'uddin Uwaysi al-Bukhari, yang dikenal sebagai Shah Naqshband QS-Imam Thariqat.

Di sebalik perkataan "Naqshband" berdiri dua idea: Naqsh yang bererti "ukiran" dan menunjukkan ukiran nama Allah dalam hati, dan band bererti "ikatan" dan menunjukkan hubungan antara individu dan Penciptanya. Ini bererti bahawa pengikut Naqshbandi harus berlatih mengamalkan ibadat dan kewajipannya sesuai dengan Al Qur'an dan Sunnah Nabi SAW dan untuk menjaga kehadiran dan cinta Allah supaya hidup di dalam hatinya melalui pengalaman peribadi dalam hubungan antara dirinya dengan Tuhannya.

Selain Abu Bakar as-Siddiq, adalah Salman al-Farisi RA. Beliau berasal dari Isfahan, Parsi dan tokoh yang menyarankan umat Islam untuk menggali parit dalam perang Ahzab. Setelah umat Islam menakluk al-Mada'in, ibu kota Parsi, beliau menjadi gabenor kota itu dan tinggal di sana sehingga kewafatannya.

Seterusnya ialah Ja'far as-Sadiq. Seorang keturunan Nabi SAW di sebelah ayahnya dan keturunan Abu Bakar RA di sebelah ibunya. Beliau menolak semua pangkat kehormatan demi mempelajari dan mengamalkan ilmu kerohanian. Beliau digelar sebagai Pewaris Maqam Kebenaran (Maqam as-Siddiqiyya).

Catatan terawal menulis bahawa timbulnya kalimah 'safa' adalah merujuk kepada murid beliau, Jabir bin Hayyan, pada pertengahan abad kedua Hijriah. Beliau (Ja'afar Sadiq) adalah seorang mufassir al-Qur'an atau guru dalam ilmu tafsir, seorang sarjana hadis, dan salah seorang mujtahid terbesar (yang memenuhi syarat untuk memberikan keputusan hukum) di Madinah. Sebahagian Tafsirnya disimpan di dalam Haqa'iq Sulami at-Tafsir. Laits bin Saad, salah seorang perawi tradisi kenabian yang dipercayai, menyaksikan kekuatan Ja'far di mana apa sahaja yang diminta, Allah akan memberikan kepadanya seketika itu juga.

Kemudiannya ialah Bayazid Tayfur al-Bistami. Datuknya adalah seorang Zoroaster. Bayazid mempelajari Perundangan Islam (Syariah) secara terperinci dan melakukan latihan yang ketat bagi menguasai diri (ego). Sepanjang hidupnya beliau tekun dalam menjalankan kewajipan agamanya. Beliau mendesak murid-muridnya untuk menempatkan usaha mereka kepada Allah dan beliau mendorong mereka untuk menerima ajaran tauhid yang suci dan murni, ilmu tentang Keesaan Allah. Menurut beliau, ajaran ini mempunyai lima kewajipan ke atas keikhlasan:

1. Untuk menjaga kewajipan menurut Al-Qur'an dan Sunnah;
2. Untuk sentiasa berkata benar.
3. Untuk memelihara hati agar bebas daripada perasaan benci.
4. Untuk menghindari makanan yang haram.
5. Untuk menghindari bid'ah.

Bayazid mengatakan bahawa tujuan akhir para sufi adalah untuk mengenal Allah di dunia ini, untuk mencapai Hadhrat Ilahi-Nya, dan untuk melihat-Nya di akhirat.
Satu lagi bintang dalam Tariqat ini ialah Abdul Khaliq al-Ghujdawani Qaddasallahu Sirrahu, yang lahir di desa Ghujdawan, Bukhara di Uzbekistan. Beliau dibesarkan dan dimakamkan di sana. Beliau mempelajari Al-Qur'an dan ilmu-ilmu Islam sama ada pengetahuan eksternal dan internal sehingga beliau mencapai tahap pemurnian yang tinggi. Kemudian beliau melakukan perjalanan ke Damaskus di mana beliau menubuhkan sebuah sekolah yang menghasilkan ramai para sarjana dan kemudian menjadi para guru dan ulama fiqh dan hadits serta kerohanian pada zaman mereka, sama ada di wilayah Asia Tengah dan di Timur Tengah.

Abdul Khaliq meneruskan pekerjaan para pendahulunya dengan mengadakan zikir (mengingat Allah) yang diturunkan daripada Nabi SAW sesuai dengan Sunnah. Dalam tulisan-tulisannya beliau meletakkan kod-kod etika (adab) yang perlu diikuti oleh para murid Naqshbandi.

Penamaan Silsilah Rantaian Emas Naqshbandi telah berubah dari abad ke abad. Di antara zaman Abu Bakar as-Siddiq RA dengan zaman Bayazid al-Bistami QS ia disebut sebagai Siddiqiyya. Dari zaman Bayazid sehingga zaman Sayyidina Abdul Khaliq al-Ghujdawani Qaddasallahu Sirrahu ia disebut sebagai Tayfuriyya. Dari zaman Sayyidina 'Abdul Khaliq al-Ghujdawani QS sehingga zaman Shah Naqshband QS ia disebut sebagai Khwajaganiyya. Dari zaman Shah Naqshband QS sehingga zaman Sayyidina Ubaidillah al-Ahrar dan Sayyidina Ahmad Faruqi, ia disebut sebagai Naqshbandiyya.

Naqshabandiyya bererti "mengikat Naqsh sebaik-baiknya". Naqsh adalah ukiran Nama Allah yang sempurna di hati seseorang murid itu. Dari zaman Sayyidina Ahmad al-Faruqi sehingga zaman Shaykh Khalid al-Baghdadi ia disebut sebagai Naqshbandi-Mujaddidiyya. Dari zaman Sayyidina Khalid al-Baghdadi sehingga zaman Sayyidina Shaykh Ismail Shirwani ia disebut sebagai Naqshbandiyya-Khalidiyya. Dari zaman Sayyidina Ismail Shirwani sehingga zaman Sayyidina Syaikh 'Abdullah ad-Daghestani, ia disebut sebagai Naqshbandi-Daghestaniyya. Dan pada zaman sekarang ia dikenali dengan nama Naqshbandiyya-Haqqaniyya dan yang terkini dengan nama Naqshbandiyya-Nazimiyya yang dinisbahkan kepada nama Mawlana Shaykh Nazim al-Haqqani.

Muhammad Bahauddin Uways al-Bukhari, yang dikenali sebagai Shah Naqshband QS, adalah Imam bagi Tariqat Naqshbandi. Beliau dilahirkan pada tahun 1317 Masehi di Desa Qasr al-Arifan, Bukhara. Setelah beliau menguasai ilmu syariah pada usia 18 tahun, beliau terus mendampingi Shaykh Muhammad Baba as-Samasi, yang merupakan seorang yang berautoriti dalam bidang hadits di Asia Tengah. Setelah kematiannya, Shah Naqshband mengikuti Shaykh Amir Kulal pula yang meneruskan dan menyempurnakan latihannya dalam bidang ilmu pengetahuan luaran dan dalaman.

Murid-murid Shaykh Amir Kulal sering melakukan zikir dengan suara yang keras ketika duduk bersama-sama dalam sesebuah majlis, dan melakukan zikir secara senyap ketika bersendirian. Walaupun Shah Naqshband QS tidak pernah mengkritik atau membantah zikir secara keras, beliau lebih suka berzikir secara senyap. Mengenai perkara ini beliau berkata, "Ada dua kaedah zikir; secara senyap dan secara keras. Aku memilih yang secara senyap kerana ia lebih kuat dan itu lebih disukai." Berzikir secara senyap kemudiannya menjadi ciri khusus bagi Naqshbandiyya berbanding tariqat lain.

Shah Naqshband melakukan Haji sebanyak tiga kali, setelah itu beliau menetap di Merv dan Bukhara. Menjelang akhir hidupnya beliau kembali untuk menetap di kota kelahirannya, Qasr al-Arifan. Ajarannya disebarkan ke mana-mana sahaja dan namanya meniti di atas setiap lidah. Pengunjung dari jauh dan luar datang menemuinya dan meminta nasihat. Mereka menerima didikan di madrasah dan masjidnya, sebuah kompleks yang pada satu waktu dahulu pernah menampung lebih daripada 5000 orang. Madrasah ini merupakan pusat pengajian Islam terbesar di Asia Tengah dan masih ada sehingga kini. Baru-baru ini ia direnovasi dan dibuka kembali setelah tujuh puluh tahun berada di bawah kekuasaan komunis.

Ajaran Shah Naqshband mengubah hati para pencari daripada kegelapan menuju cahaya. Beliau terus mengajar murid-muridnya tentang ilmu pengetahuan mengenai Keesaan Allah di mana para pendahulu beliau telah khususkan, dengan menekankan kesedaran terhadap keadaan ihsan (keunggulan) bagi para pengikutnya sesuai dengan hadits Nabi SAW, "Ihsan adalah supaya engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. "

Ketika Shah Naqshaband meninggal beliau dimakamkan di tamannya seperti yang diwasiatkan. Raja Bukhara yang berjaya telah mengambil alih untuk menjaga dan mengurus madrasah dan masjidnya, memperluas dan menambahkan wakafnya.

Para Shaykh yang meneruskan Tariqat Naqshbandi telah banyak menulis biografi Shah Naqshband QS, antaranya adalah Mas'ud al-Bukhari dan Sharif al-Jarjani, yang menyusun Awrad Baha'uddin yang menggambarkan peribadi dan jasa-jasanya termasuk fatwanya. Shaykh Muhammad Parsa, yang meninggal di Madinah pada tahun 822 H (1419 M) menulis Risalah Qudsiyya yang membicarakan tentang kehidupan Shah Naqshband QS, jasa-jasa dan ajaran-ajarannya.

Warisan karya-karya Shah Naqshband termasuk kitab-kitabnya yang banyak, antaranya adalah Awrad an-Naqshbandiyya, pengabdian Shah Naqshband QS. Kitab lainnya adalah Tanbih al-Ghafilin. Kitab ketiga adalah Maslakul Anwar. Keempat adalah Hadiyyatu-s-Salikan wa Tuhfat at-Talibin. Beliau meninggalkan banyak madah-madah yang mulia bagi memuji Nabi SAW dan beliau menulis banyak kitab hukum syariah. Salah satu pendapatnya adalah bahawa semua tindakan dan jenis ibadah yang berbeza, sama ada wajib atau sunat, diizinkan untuk dilakukan oleh para murid bagi mencapai hakikat. Solat, puasa, zakat, mujahadah dan zuhud amat ditekankan sebagai cara-cara untuk sampai kepada Allah SWT.

Shah Naqshband QS membangunkan madrasahnya bagi memperbaharui kaedah mengajar Agama Islam. Beliau bertegas perlunya menjaga Al-Qur'an dan ajaran Sunnah. Ketika mereka bertanya kepadanya, "Apa syarat-syarat yang perlu untuk seseorang menuruti jalanmu?" Katanya, "Untuk mengikuti Sunnah Nabi SAW." Beliau terus berkata: "Jalan kami adalah jalan yang jarang dilalui. Ia menjaga Urwat ul-Wutsqa, ikatan yang tidak terputus, dan tidak mahukan apa-apa daripada para pengikutnya selain memegang Sunnah Suci Nabi SAW dan mengikuti jalan para Sahabat Radiyallahu Anhum dalam jihad mereka (usaha yang mereka lakukan kerana Allah).

"Madrasah Naqshbandi adalah cara termudah dan paling sederhana bagi para muridnya untuk memahami tauhid. Ia menekankan supaya para pengikutnya berusaha untuk mencapai suatu tahap pengabdian yang sempurna kepada Allah sama ada di tengah-tengah masyarakat awam mahupun ketika bersendirian dengan memelihara adab-adab yang sempurna dalam Sunnah Nabi SAW. Ia mendorong manusia untuk menggunakan kaedah perlaksanaan ibadah yang ketat (Azima) dan meninggalkan pengecualian (Rukhsa). Ia juga bebas daripada semua bid'ah dan penyelewengan. Ia tidak menuntut supaya pengikutnya berlapar atau tidak tidur. Itu adalah kaedah bagaimana Naqshbandiyya mengurus agar tetap bebas daripada kebodohan dan penipuan (musha'wazan). Ringkasannya kita mengatakan bahawa tariqat kita adalah ibu kepada semua tariqat dan pemelihara kepada semua amanah kerohanian. Ia adalah jalan yang paling selamat, paling bijaksana, dan paling jelas. Naqshbandiyya tidak bersalah dan terlindung daripada sebarang serangan kerana ia menjalankan Sunnah Nabi SAW yang tercinta."

Adapun Silsilah Rantaian Emas Tariqat Naqshbandiyya an-Nazimiyya al-Aliyya itu adalah seperti berikut:

  1.Daripada Nabi Muhammad ibn Abdullah SAW;
  2.Diturunkan kepada Abu Bakr as-Siddiq RA;
  3.Diturunkan kepada Salman al-Farsi RA;
  4.Diturunkan kepada Qasim ibn Muhammad ibn Abu Bakr as-Siddiq RA;
  5. Diturunkan kepada Jafar as-Sadiq RA;
  6. Diturunkan kepada Tayfur Abu Yazid al-Bistami QS;
  7. Diturunkan kepada Abul Hassan Ali al-Kharqani QS;
  8. Diturunkan kepada Abu Ali al-Farmadi QS;
  9. Diturunkan kepada Abu Yaqub Yusuf al-Hamadani QS;
10. Diturunkan kepada Abul Abbas al-Khidr AS;
11. Diturunkan kepada Abdul Khaliq al-Ghujdawani QS;
12. Diturunkan kepadaArif ar-Riwakri QS;
13. Diturunkan kepada Khwaja Mahmud al-Anjir al-Faghnawi QS;
14. Diturunkan kepada Ali ar-Ramitani QS;
15. Diturunkan kepada Muhammad Baba as-Samasi QS;
16. Diturunkan kepada as-Sayyid Amir Kulal QS;
17. Diturunkan kepada Muhammad Baha’uddin Uways al-Bukhari Shah Naqshband al-Imam at-Tariqa QS;
18. Diturunkan kepada Ala’uddin al-Bukhari al-'Attar QS;
19. Diturunkan kepada Yaqub al-Kharkhi QS;
20. Diturunkan kepada Ubaydullah al-Ahrar QS;
21. Diturunkan kepada Muhammad az-Zahid QS;
22. Diturunkan kepada Darwish Muhammad QS;
23. Diturunkan kepada Muhammad Khwaja al-Amkanaki QS;
24. Diturunkan kepada Muhammad al-Baqi bi-Llah QS;
25. Diturunkan kepada Ahmad al-Faruqi as-Sirhindi QS;
26. Diturunkan kepada Muhammad al-Masum QS;
27. Diturunkan kepada Muhammad Sayfuddin al-Faruqi al-Mujaddidi QS;
28. Diturunkan kepada as-Sayyid Nur Muhammad al-Badawani QS;
29. Diturunkan kepada Shamsuddin Habib Allah QS;
30. Diturunkan kepada Abdullah ad-Dahlawi QS;
31. Diturunkan kepada Khalid al-Baghdadi QS;
32. Diturunkan kepada Ismail Muhammad ash-Shirwani QS;
33. Diturunkan kepada Khas Muhammad Shirwani QS;
34. Diturunkan kepada Muhammad Effendi al-Yaraghi QS;
35. Diturunkan kepada Jamaluddin al-Ghumuqi al-Husayni QS;
36. Diturunkan kepada Abu Ahmad as-Sughuri QS;
37. Diturunkan kepada Abu Muhammad al-Madani QS;
38. Diturunkan kepada Sharafuddin ad-Daghestani QS;
39. Diturunkan kepada Abdullah al-Faiz ad-Daghestani QS;
40. Diturunkan kepada Muhammad Nazim Adil al-Haqqani QS.

Mursyid ke-40, Shaykh Nazim al-Haqqani an-Naqshbandi Qaddasallahu Sirruhu wa Rahmatullah Alayhi

Nama lengkap Shaykh Nazim adalah Muhammad Nazim ‘Adil ibn al-Sayyid Ahmad ibn Hasan Yashil Bashal-Haqqani al-Qubrusi al-Salihi al-Hanafi QS. Semoga Allah SWT mensucikan ruhnya dan merahmati seluruh asal keturunannya. Kunya (nama panggilan) beliau adalah Abu Muhammad kerana putera sulung beliau bernama Muhammad. Selain itu beliau merupakan ayah kepada Baha’uddin, Naziha, dan Ruqayya.

Beliau dilahirkan pada tahun 1341 H/1922 M di kota Larnaka, Cyprus (Qubrus) daripada keluarga Arab dengan akar-akar budaya Tartar. Beliau berketurunan  Shaykh ‘Abdul Qadir Al-Jailani QS di sebelah ayahnya dan Mawlana Jalaluddin ar-Rumi QS di sebelah  ibunya. Ini menjadikan beliau sebagai keturunan Nabi Muhammad SAW, dari sebelah ayahnya, dan keturunan Sayidina Abu Bakar as-Shiddiq RA dari sebelah ibundanya. Pada zaman kanak-kanaknya di Cyprus, beliau selalu duduk bersama datuknya, salah seorang Shaykh Thariqat Qadiriyya untuk mempelajari ilmu kerohanian dan disiplin. Beliau tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa pun, beliau selalu tersenyum dan sabar. Kedua-dua datuk dari sisi ayah dan ibunya melatih beliau dalam jalan kerohanian.

Ayahnya menghantar beliau ke sekolah awam pada waktu siang dan pada petangnya mempelajari ilmu-ilmu agama. Beliau seorang yang genius antara rakan-rakannya. Setelah habis waktu persekolahan, Shaykh Nazim QS menghabiskan malam harinya untuk mempelajari Tariqat Mawlawiyya dan Qadiriyya. Beliau mempelajari Ilmu Syariah, Fiqih, Ilmu Tradisi, Ilmu Mantik dan Tafsir al-Quran. Beliau mampu memberikan penjelasan hukum tentang masalah-masalah Islam secara luas. Beliau diberikan kemampuan untuk menjelaskan masalah-masalah yang sukar dalam bahasa yang jelas dan mudah.

Setelah menamatkan pendidikannya di Cyprus, Shaykh Nazim QS berpindah dan melanjutkan pengajiannya ke pengajian tinggi di Istanbul pada tahun 1359 H/ 1940 M, di mana dua orang saudara lelakinya dan seorang saudara perempuannya menetap. Di Istanbul, beliau  mendapat kelulusan ijazah sarjana dalam Bidang Kejuruteraan Kimia dengan keputusan yang sangat memuaskan berbanding rakan-rakannya. Ketika profesor di universitinya memberi cadangan agar melakukan kajian dan penyelidikan, beliau mengatakan, “Saya tidak tertarik dengan ilmu moden. Hati saya selalu tertarik kepada ilmu-ilmu kerohanian.” Di sana, beliau juga belajar bahasa Arab dan Fiqh, di bawah bimbingan Shaykh Jamalal-Din al-Alsuni RA (wafat 1375H/1955M) dan menerima Ijazah daripada Shaykh tersebut. Beliau juga mempelajari Tasawuf dan Tariqat Naqshbandi daripada Shaykh Sulayman Arzarumi QS (wafat 1368 H/1948 M) yang akhirnya menghantar beliau ke Syam (Syria). Beliau sering dilihat di Masjid Sultan Ahmad (Masjid Biru).

Shaykh Nazim QS melanjutkan Pengajian Syariahnya ke Halab (Aleppo), dan terutama di Homs. Dari Istanbul menuju ke Aleppo, beliau menaiki kereta. Sepanjang perjalanan tersebut, beliau masuk dari satu masjid ke masjid yang lain untuk bersolat, duduk dengan para ulama dan menghabiskan waktu untuk beribadah dan bertafakur. Beliau berusaha untuk terus masuk ke Damaskus yang ketika itu sedang dijajah oleh Perancis yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi serangan dari British. Namun ia adalah mustahil dan disebabkan itu beliau menetap di Homs, di Zawiyah dan Madrasah Masjid sahabat besar Sayidina Khalid al-Walid RA. Di sini, beliau belajar selama setahun di bawah bimbingan Ulama besarnya dan memperolehi Ijazah dalam Fiqh Hanafi iaitu daripada Shaykh Muhammad ‘Ali ‘Uyun al-Sud RA dan Shaykh ‘Abd al-Jalil Murad RA, dan ijazah dalam Ilmu Hadits daripada Muhaddits Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ibn Muhammad‘Ali ‘Uyun al-Sud al-Hanafi RA.

Shaykh Nazim QS juga belajar di bawah bimbingan Shaykh Sa’id al-Siba’i QS (Shaykh Tariqat Naqshbandi) yang kemudian menghantar beliau ke Damaskus setelah menerima suatu pertanda berkaitan dengan kedatangan Shaykh ‘Abdullah Faiz ad-Daghestani QS ke Syria. Setelah kedatangan awal beliau ke Syria dari Daghestan di akhir tahun 30-an, Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS tinggal di Damaskus, tetapi  sering mengunjungi Aleppo dan Homs. Di Kota Homs beliau mengenali Shaykh Sa’id al-Siba’i QS yang merupakan pemimpin Madrasah Sayidina Khalid al-Walid RA.Shaykh Sa’id QS menulis surat kepada Shaykh ‘Abdullah Faiz QS,

“Kami mempunyai seorang murid dari Turki yang luar biasa, yang sedang belajar daripada kami.”

Shaykh ‘Abdullah Faiz QS menjawab kepadanya,

“Murid itu milik kami, kirimkan dia kepada kami.”

Murid tersebut adalah Shaykh Nazim QS. Lalu Shaykh Sa’id QS menguruskan perjalanan Shaykh Nazim QS menuju ke Damaskus. Dari Homs, Shaykh Nazim QS menuju ke Beirut dan pada tahun 1364 H/ 1944 M, beliau pergi ke Tripoli dengan bas. Bas ini membawa beliau sampai ke pelabuhan yang masih asing, dan tidak seorang pun yang dikenalinya. Ketika berjalan mengelilingi pelabuhan, beliau melihat seseorang datang dari arah berlawanan. Orang itu adalah Mufti Tripoli yang bernama Shaykh Munir al-Malek QS. Beliau juga merupakan Shaykh bagi semua Tariqat Sufi di kota itu. Shaykh Nazim QS tinggal dengan Shaykh Munir al-Malek QS selama sebulan, dan beliau mengatur perjalanan Shaykh Nazim QS untuk menuju ke Damaskus.

Dengan usaha beliau bersama Para Gurunya, akhirnya Shaykh Nazim QS tiba di Damaskus pada tahun 1945 dan bertemu dengan mursyidnya, Shaykh ‘Abdullah Faiz ad-Daghestani QS. Setelah tinggal semalaman di kediaman Shaykh ‘Abdullah Faiz QS, keesokkan paginya beliau diperintahkan oleh gurunya itu untuk pulang ke Cyprus kerana kaumnya di sana memerlukan bantuan beliau. Selama satu setengah tahun melakukan perjalanan ke Damaskus, hanya selepas semalaman, beliau terpaksa pulang ke Cyprus yang sudah 5 tahun ditinggalkannya. Perintah itu diturutinya demi cinta kepada gurunya.

Ketika itu Perang Dunia II hampir tamat. Namun, tidak ada kenderaan awam yang boleh dinaiki untuk keluar dari Damaskus. Beliau telah menumpang trak seseorang menuju ke Pelabuhan Tripoli untuk pulang ke Cyprus. Setelah sampai di pelabuhan, tidak ada bot atau feri yang boleh membawa Shaykh Nazim QS ke Cyprus, namun dengan kuasa Allah, Shaykh Munir al-Malek QS berada di situ dan membawanya menetap di rumahnya selama 3 hari. Setelah itu, Shaykh Munir al-Malek QS membayar sejumlah duit yang banyak kepada seorang tuan perahu dayung dan akhirnya bersetuju untuk membawa Shaykh Nazim QS pulang ke Cyprus. Mereka belayar selama 7 hari 7 malam sebelum tiba di Pulau Cyprus. 

Shaykh Nazim QS mula menyebarkan bimbingan rohani dan mengajar Agama Islam di Cyprus. Ramai murid yang mendatangi beliau dan menerima Tariqat Naqshbandi. Seperti yang kita tahu, ketika itu, pengamalan sebarang agama di Turki adalah dilarang akibat kesan daripada ideologi bawaan Mustaffa Kemal at-Tarturk. Sesampainya beliau di Cyprus, langkah pertama beliau ialah menuju ke masjid di tempat kelahirannya dan mengumandangkan azan di sana. Lantas beliau dimasukkan ke dalam penjara selama seminggu. Sejurus dibebaskan, Shaykh Nazim QS pergi menuju ke Masjid Besar di Nicosia dan melaungkan azan di menaranya. Kejadian itu menyebabkan para pemerintah marah dan beliau direman kerana melanggar undang-undang. Sementara menunggu hari perbicaraan, Shaykh Nazim QS terus mengumandangkan azan di menara-menara masjid di seluruh Nicosia. Hal itu menyebabkan kes-kes Shaykh Nazim QS terus bertambah sehingga menjadi 114 buah kes yang mana jika disabit kesalahan Shaykh Nazim QS boleh dipenjarakan lebih dari 100 tahun. Peguamnya menasihati beliau agar berhenti melaungkan azan, namun Shaykh Nazim QS mengatakan :

“ Tidak, aku tidak boleh. Orang ramai harus mendengar panggilan untuk solat.”

Hari perbicaraan tiba. Pada hari yang sama keputusan pilihan raya diumumkan di Turki. Seorang lelaki bernama Adnan Menderes diangkat untuk berkuasa. Langkah pertama Adnan Menderes ketik dipilih menjadi Presiden adalah membuka seluruh masjid dan mengizinkan azan dilaungkan dalam Bahasa Arab. Oleh itu, dengan serta-merta, perbicaraan ke atas Shaykh Nazim QS terbatal dan beliau dibebaskan. Selama tinggal di Cyprus, Shaykh Nazim QS pergi ke seluruh pelusuk Kepulauan Cyprus untuk menyebarkan ajaran ketuhanan yang semakin hilang daripada masyarakat. Beliau juga mengunjungi Lubnan, Mesir, Arab Saudi dan tempat-tempat lain untuk mengajar Tariqat Sufi.

Pada tahun 1946, Syaikh ‘Abdullah Faiz QS berpindah ke rumah baru beliau yang dibeli oleh murid Syria pertamanya, dan khalifahnya Shaykh Husayn ibn ‘Ali ibn Muhammad ‘Ifrinial-Kurkani ar-Rabbani al-Kurdi as-Shaykhani al-Husayni QS (lahir 1336 H/ 1917M), (semoga Allah swt mensucikan ruhnya dan merahmati asal keturunannya) di Jabal Qasyiun.

Shaykh Nazim QS tinggal di Damaskus sambil sesekali melakukan perjalanan untuk belajar atau sebagai wakil Shaykh ‘Abdullah Faiz QS. Pada tahun 1952, beliau menikahi salah seorang murid Shaykh ‘Abdullah Faiz QS iaitu Hajjah Amina Adil QS. Sejak itu beliau menetap di Damaskus dan mengunjungi Cyprus setiap tahun, iaitu selama 3 bulan pada bulan Rajab, Sya’ban, dan Ramadhan.

Rumah Shaykh Nazim QS tidak pernah sunyi daripada penziarah. Paling sedikit seratus orang silih berganti mengunjungi rumah beliau setiap hari dan dilayani dengan baik. Rumah beliau dekat dengan rumah Shaykh ‘Abdullah Faiz QS di Jabal Qasyiun, sebuah pergunungan yang dapat dilihat dari kotanya, di sebelah tenggara Damaskus. Rumah simen beliau yang sederhana dengan segala perabot dibuat dengan tangan daripada bahan kayu atau bahan-bahan semulajadi.

Pada tahun 1955 beliau melaksanakan khalwah pertamanya di bawah tunjuk ajar Shaykh ‘Abdullah Faiz QS selama enam bulan di Sueileh, Jordan. Setelah selesai khalwah di Jordan, Shaykh ‘Abdullah Faiz QS memerintahkan Shaykh Nazim QS untuk melaksanakan khalwah di Baghdad, Iraq, tepat di Maqam Qutub al-Awliya Sayyid Shaykh Abdul QadiraI-Jilani QS selama enam bulan.

Atas perintah Shaykh ‘Abdullah Faiz QS, beliau melakukan perjalanan menuju ke Aleppo dari Damaskus dengan berjalan kaki, dan berhenti di setiap daerah untuk menyebarkan ajaran Islam dan Tariqat Naqshbandi. Jarak antara Damaskus menuju ke Aleppo adalah sekitar 400 kilometer. Memerlukan waktu lebih dari setahun untuk perjalanan pergi dan balik. Shaykh Nazim QS berjalan kaki selama satu atau dua hari. Apabila sampai di sesebuah daerah, beliau tinggal di situ selama seminggu untuk menyebarkan Tariqat Naqshbandi, memimpin zikir, melatih penduduk dan melanjutkan perjalanan beliau sampai ke daerah seterusnya. Nama beliau mulai terdengar di setiap lidah penduduk, mulai dari sempadan Jordan sehingga sempadan Turki di Aleppo.

Selepas kewafatan gurunya Shaykh ‘Abdullah Faiz ad-Daghestani QS pada tahun 1973, tampuk kekhalifahan sebagai mursyid penerus dalam Tariqat Naqshbandiyya al-'Aliyya telah dimandatkan kepada Shaykh Nazim al-Haqqani QS sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh Shaykh 'Abdullah Faiz ad-Daghestani QS. Shaykh Nazim QS terusn menetap di Damaskus beberapa tahun dan kemudiannya pulang semula ke kampung halamannya, Cyprus. Beliau juga berjalan kaki ke Cyprus. Dari satu daerah menuju ke satu daerah, menyeru masyarakat agar kembali kepada Tuhannya dan meninggalkan segala materialisme, sekularisme dan atheisme. Shaykh Nazim QS menunaikan haji setiap tahun untuk memimpin Jemaah Haji Cyprus. Beliau melaksanakan ibadah haji sebanyak 27 kali.

Beliau amat dicintai diseluruh Cyprus, dan masyhur dengan sebutan ‘Shaykh Nazim berserban hijau /Shaykh Nazim Yesilbas’ kerana serban dan jubahnya yang berwarna hijau. Beliau selalu mengunjungi Lubnan. Pada tahun 1974, beliau mula mengunjungi Eropah. Dari Cyprus, beliau menuju ke London dengan kapal terbang dan balik dengan kereta melalui jalan darat. Beliau melanjutkan pertemuan dengan setiap lapisan masyarakat daripada pelbagai daerah, bahasa, adat sehingga kepercayaan yang berbeza-beza. Orang ramai mula mengucapkan Kalimah Tauhid dan bergabung dengan Tariqat Sufi serta belajar tentang keruhanian daripada beliau. Senyuman dan wajahnya yang bersinar amat dikenali di seluruh benua Eropah dan disayangi kerana membawa perasaan keruhanian yang sebenar-benarnya dalam kehidupan masyarakat.

Tahun-tahun berikutnya, beliau melakukan perjalanan kaki di wilayah Negara Turki. Semenjak 1978, beliau menghabiskan tiga hingga empat bulan di setiap daerah di Turki. Dalam setahun beliau berkunjung ke daerah Istanbul, Yalova, Bursa, Eskisehir dan Ankara. Dalam lain kesempatan beliau mengunjungi Konya, Isparta dan Kirsehir. Tahun berikutnya beliau mengunjungi persisiran selatan dari Adana menuju Mersin, Alanya, Izmir dan Antalya. Kemudian pada tahun berikutnya beliau menuju ke daerah-daerah timur, Diyarbakir, Erzurm sehingga ke sempadan Iraq. Kemudian kunjungan selanjutnya adalah di Laut Hitam, bergerak dari satu wilayah ke wilayah lain, dari satu kota menuju kota lain, dari masjid ke masjid menegakkan Syi’ar dan  firman-firman Allah dan keruhanian di mana pun beliau berada.

Ke mana pun Shaykh Nazim QS pergi, beliau disambut masyarakat daripada lapisan yang bawah dan sederhana sehinggalah kepada golongan pemerintah. Beliau masyhur dengan sebutan ‘Al-Qubrusi’ di seluruh Turki. Shaykh Nazim QS merupakan mursyid kepada Presiden Turki terakhir,Turgut Ozal yang amat menghormati beliau. Shaykh Nazim QS terkenal kerana pemberitaan yang luas daripada media. Beliau ditemubual hampir setiap minggu oleh pelbagai stesyen TV dan pemberita yang menanyakan tentang pelbagai kejadian serta masa depan Turki. Beliau mampu menghubungkan antara pemerintah yang sekular dan kelompok Islam fundamental, seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW sehingga tercipta kedamaian di setiap hati dan fikiran daripada kedua-dua belah pihak, baik dalam kalangan awam mahupun yang elit. Beliau sering bersama menantunya yang banyak membantunya iaitu Shaykh Hisham al-Kabbani QS.

Pada tahun 1986, beliau telah mengadakan perjalanan menuju ke Timur Jauh iaitu Brunei, Malaysia, Singapura, India, Pakistan dan Sri Lanka. Beliau diterima baik oleh para Sultan, presiden, anggota parlimen, pejabat pemerintah dan semestinya masyarakat awam. Beliau disambut dengan keramahan rakyat dan khususnya oleh Sultan Haji Hasan al-Bolkiah. Beliau digolongkan sebagai salah satu Shaykh terbesar Tariqat Naqshbandi di Malaysia. Di Pakistan, beliau dikenal sebagai penyegar Tariqat Sufi dan beliau mempunyai ribuan murid. Di Sri Lanka, dalam kalangan pemerintah dan rakyat biasa, beliau mempunyai lebih daripada 20 000 orang murid. Muslim Singapura juga amat menghormati beliau. Beliau telah melantik YTM al-Marhun Raja Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah sebagai khalifahnya di Wilayah Timur.

Pada tahun 1991, untuk pertama kalinya beliau mengunjungi Amerika Syarikat. Lebih daripada 15 negeri yang beliau kunjungi. Beliau bertemu dengan pelbagai masyarakat daripada pelbagai aliran dan agama: Muslim, Kristian, Yahudi, Sikh, Buddha, Hindu, New Age, dan lain-lain. Usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh Shaykh Nazim QS di Barat telah mengakibatkan tertubuhnya pusat-pusat kesufian di merata tempat di Eropah dan Amerika Utara. Pusat utamanya, terletak di London dan dikenali sebagai 'The Islamic Priory' yang mana bangunan (yang asalnya adalah gereja) ini merupakan hadiah buat Shaykh Nazim QS daripada seorang ketua negara sebuah Negara Islam yang kaya raya, iaitu Sultan Haji Hasan al-Bolkiah, Sultan Brunei Darussalam. Semoga Allah merahmatinya. Kunjungan ini telah menyebabkan berdirinya lebih daripada 13 buah pusat Tariqat Naqshbandi di Amerika Syarikat.

Kunjungan kedua pada tahun 1993, beliau telah pergi ke pelbagai daerah dan kota, masjid-masjid, gereja, sinagog (pusat ibadat Yahudi), dan candi-candi. Melalui beliau, lebih dari 10 000 orang rakyat USA telah memeluk Islam dan berbay’at dalam Tariqat Naqshbandi. Semasa kunjungan ini juga, beliau telah menjadi tetamu kehormat Majlis Pembukaan Pusat Latihan dan Konvensyen Haqqani di Fenton, Michigan. Pusat tersebut terletak diatas 200 ekar tanah ladang yang menempatkan rumah tetamu yang selesa dan besar, masjid, asrama-asrama, empat buah tasik dan 200 ekar tanah ladang yang dipenuhi rumput untuk haiwan ternakan hasil usaha menantu dan khalifahnya, Shaykh Hisham al-Kabbani QS. Pusat yang terletak dekat Detroit ini, merupakan lokasi yang sangat strategik kerana terletak di tengah-tengah USA dan hampir dengan Kanada. Setakat ini, pusat tersebut telah menganjurkan beberapa siri perkhemahan dan seminar. Pada masa pembukaannya (1993) sahaja, ia dapat menampung 1000 orang murid yang datang dari seluruh Amerika dan juga dari negara-negara lain.

Pada bulan Oktober 1993, beliau telah menghadiri perasmian kembali masjid dan sekolah Imam Bukhari di Bukhara, Uzbekistan. Beliau adalah orang pertama antara banyak generasi Imam Bukhari yang mampu mengembalikan daerah pusat para Awliya di Asia tengah itu, yang sangat kuat mengabadikan nama dan ajarannya dalam Tariqat ini.

Sebagaimana Shah Bahauddin Naqshband QS sebagai pelopor di daerah Bukhara dan Asia Tengah, juga Ahmad as-Sirhindi al-Mujaddidi QS pelopor di milenium ke-2, dan Khalid al-Baghdadi QS pelopor kebangkitan Islam, Syari’ah, dan Tariqat di Timur Tengah, maka Shaykh Nazim ‘Adil al-Haqqani QS adalah pelopor, pembaharu dan penyeru umat agar kembali kepada Tuhannya di abad ini, abad perkembangan teknologi dan materialisme.

Shaykh Muhammad Nazim al-Haqqani QS menetap di Cyprus dan dakwahnya terus dikembangkan oleh para khalifahnya seperti Shaykh Hisham al-Kabbani QS (USA), Shaykh ‘Adnan al-Kabbani (Timur Tengah), Shaykh Hassan Dyck (Eropah dan Jerman), Shaykh Muhammad ‘Adil yang merupakan putera sulung beliau, Shaykh Mustafa Mas’ud  dan Habib Luthfi Ben Yahya (Indonesia) dan tidak dilupakan, dalam kenangan al-Marhum YTM Shaykh Raja Ashman Shah QS.

Dalam tahun-tahun terakhir hayat beliau, Shaykh Nazim kerap diiktiraf sebagai 50 orang Islam yang paling berpengaruh di dunia dalam penerbitan tahunan, 500 Muslim Paling Berpengaruh: beliau berada pada kedudukan ke-49, ke-49, ke-48, ke-45 dan ke-42 dalam edisi 2009-2013. Setelah uzur kerana sakit tua beberapa tahun, pada 7 Mei 2014/8 Rajab 1435 H, Shaykh Nazim al-Haqqani telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada umur 92 tahun, di Nicosia Utara, Cyprus. Jenazah beliau telah dimandikan, dikafankan dan solat jenazahnya diimamkan serta dikebumikan oleh menantunya yang sangat dicintai, Shaykh Hisham al-Kabbani QS bersama-sama ahli keluarganya iaitu putera-puteranya, Shakyh Muhammad 'Adil dan Haji Bahauddin 'Adil, cucu-cucunya dan murid-muridnya. Beliau dimakamkan di sebelah rumah dan dergahnya (surau). Semoga Allah merahmati beliau atas segala usaha dan kerja dakwahnya dalam mengembangkan Islam dengan penuh kecintaan. Al-Fatihah.

Shaykh Abdul Qadir al-Jilani QS

Shaykh Abdul Qadir al-Jilani QS merupakan moyang kepada Shaykh Nazim al-Haqqani di sebelah ayahnya. Beliau dicatat sebagai seorang pendakwah bermazhab Hanbali, shaykh sufi dan pendiri Tariqat Sufi Qadiriyya yang dinisbahkan dengan namanya. Beliau lahir dalam bulan Ramadhan 470 H (sekitar tahun 1077 M) di Wilayah Gilan, Parsi (Iran) selatan Laut Kaspia. Sumbangannya dan kemasyhurannya dalam ilmu tasawuf dan syariah begitu besar sehingga beliau dikenali sebagai qutub rohani pada zamannya, al-Gauth al Azam ("Penolong yang Agung" atau "Bantuan Terkuat"). Tulisan-tulisannya serupa dengan tulisan-tulisan al-Ghazali berhubung dengan dasar-dasar Islam dan pengalaman mistik tasawuf.

Shaykh Abdul Qadir Jilani QS adalah seorang guru Sufi dan Syed (keturunan Nabi Muhammad SAW) di sebelah ayah dan ibunya. Ayahnya Syed Abu Saleh Jangidost, adalah pemuda yang terkenal dan takut kepada Allah. Suatu hari ketika sedang khusyuk bertafakur di tepi tebing sungai, beliau melihat sebiji epal terapung di atas sungai. Beliau mengambilnya dan memakannya. Beliau terkelu kerana memakan buah epal itu tanpa membayarnya dan menyebabkan beliau berusaha mencari pemiliknya, dengan berjalan menyusuri tepi sungai dan akhirnya berjumpa dengan pemilik kebun epal, Syed Abdullah Somai yang apabila ditanya mengenai harga epal, Syed Abdullah Somai menjawab bahawa ia sangat mahal. Syed Abu Saleh menjawab bahawa beliau tidak memiliki banyak harta kebendaan duniawi tetapi beliau boleh berkhidmat kepadanya sebagai ganti rugi. Syed Abdullah Somai kemudian memintanya untuk bekerja selama setahun di kebunnya.

Dalam waktu bekerja itu, sudah beberapa kali tempoh kerjanya dilanjutkan. Akhirnya Syed Abdullah Somai mengaku bahawa sebenarnya beliau sudah berkhidmat kepadanya lebih daripada nilai ganti ruginya dan mahu membayar upah kepadanya. Syed Abu Saleh ragu-ragu untuk menerimanya tetapi ketika Syed Abdullah Somai mendesaknya, beliau mengalah. Syed Abdullah Somai mengatakan bahawa beliau memiliki seorang puteri yang buta matanya, cacat tangan dan kakinya dan ingin menikahkannya dengan Syed Abu Saleh. Dengan cara inilah Syed Abu Saleh menikahi puteri Syed Abdullah Somai iaitu Sayeda Fatimah. Beliau kehairanan kerana mendapati isterinya sangat cantik, sihat dan menakjubkan. Beliau mengeluh kepada ayah mentuanya kerana apa yang beliau lihat adalah bertentangan dengan apa yang telah diterangkan. Syed Abdullah Somai menegaskan bahawa kata-katanya benar. Dia buta kerana dia tidak pernah melihat mana-mana Ghair Mahram (seorang lelaki yang boleh menikahinya). Dia bisu kerana dia tidak pernah mengucapkan kata-kata yang bertentangan dengan syariah. Dia pekak kerana dia tidak pernah mendengar apa-apa yang tidak selari dengan syariah. Dia cacat tangan dan kakinya kerana dia tidak pernah bergerak menuju ke arah kejahatan. Ayah Shaykh Abdul Qadir Jilani meninggal tidak lama setelah bernikah dan anak yatim ini dibesarkan oleh ibunya, Sayeda Fatimah dan datuknya, Syed Abdullah Somai.

Ketika berumur 18 tahun, Shaykh Abdul Qadir pergi ke Baghdad pada tahun 488 H (1095 M), di mana beliau mempelajari hukum-hakam Mazhab Hanbali di bawah bimbingan beberapa orang guru. Ibunya menjahit 40 keping wang emas di dalam bajunya supaya beliau boleh menggunakannya jika diperlukan. Para perompak menyerang kafilahnya di tengah perjalanan, dan merampas semua barangan ahli kafilah. Mereka bertanya apa yang beliau miliki. Beliau menjawab bahawa beliau memiliki 40 keping wang emas. Para perompak menganggap jawapannya itu satu jenaka dan membawanya kepada ketua mereka, yang mengajukan pertanyaan yang sama dan beliau menjawab dengan jawapan yang sama. Ketua perompak mengarahkan beliau supaya menunjukkan wang emas itu. Lalu beliau mengoyakkan jahitan bajunya dan terkeluarlah 40 keping wang emas itu. Ketua perompak terkejut dan bertanya mengapa beliau mengeluarkan wang emas itu sedangkan beliau boleh terus menyembunyikannya. Shaykh Abdul Qadir menjawab bahawa beliau menuju ke Baghdad untuk menuntut ilmu dan ibunya menyuruhnya untuk berkata jujur. Hal ini telah memberi kesan yang mendalam kepada ketua perompak dan dia menyerahkan kembali rampasannya.

Shaykh Abdul Qadir menerima Ilmu Perundangan Islam daripada Shaykh Abu Said Ali al-Mukharrimi, Ilmu Hadits daripada Shaykh Abu-Bakra bin Muzaffar, dan Ilmu Tafsir daripada ahli tafsir terkenal, Shaykh Abu Muhammad Jafar.

Dalam Ilmu Tasawuf, pembimbing kerohanian beliau adalah Shaykh Abu'l-Khair Hammad. Daripadanya, beliau menerima latihan asas, dan dengan bantuannya beliau melakukan perjalanan kerohanian. Sidi Abu Shuja' yang juga murid kepada Shaykh Hammad menceritakan: "Shaykh Abdul Qadir mendampingi Shaykh Hammad. Suatu hari beliau datang dan duduk di hadapannya, memerhati adab perilakunya, sehingga beliau berdiri dan pergi. Aku mendengar Shaykh Hammad berkata sebaik sahaja Shaykh Abdul Qadir pergi: Si bukan Arab ini (Shaykh Abdul Qadir bukan berbangsa Arab) memiliki kaki yang akan ditinggikan apabila tiba waktunya, dan berada di leher para wali pada zaman itu. Dia pasti akan diperintahkan untuk berkata: Kakiku berada di leher setiap wali Allah. Dia pasti akan mengatakannya, dan leher semua para wali pada zamannya akan tertunduk di pangkuannya" Shaykh Junayd al-Baghdadi (wafat 910 M), yang meninggal sekitar 167 tahun sebelum kelahiran Shaykh Abdul Qadir, telah terlebih dahulu menceritakan tentang beliau pada satu kesempatan, ketika sedang bertafakur & dan berkata: "Kakinya akan berada lebih atas daripada leher semua para wali." Setelah selesai bertafakur, murid-muridnya bertanya tentang kata-katanya itu, beliau menjawab: "Salah seorang Sufi akan lahir pada masa hadapan, keagungannya melebihi semua para wali." Kemudiannya Shaykh Hammad membuktikan kata-kata Shaykh Junayd itu benar. Para sejarawan mengatakan bahawa, kemudiannya Shaykh Abdul Qadir sendiri juga mengulangi kata-kata yang sama banyak kali dalam waktu hidupnya.

Berikut adalah Silsilah Penerimaan Ilmu (Sanad) Shaykh Abdul Qadir Jilani QS:
Daripada Nabi Muhammad SAW;
Diturunkan kepada Ali bin Abi Thalib KWJ;
Diturunkan kepada al-Hussayn RA;
Diturunkan kepada Ali Zainal Abidin RA;
Diturunkan kepada Muhammad Baqir RA;
Diturunkan kepada Ja'afar Sadiq RA;
Diturunkan kepada Musa al-Kazim RA;
Diturunkan kepada Abul Hassan Ali RA;
Diturunkan kepada Ma'ruf al-Karkhi QS;
Diturunkan kepada Sarri as-Saqathi QS;
Diturunkan kepada Junayd al-Baghdadi QS;
Diturunkan kepada Abu Bakar as-Syibli QS;
Diturunkan kepada Abu al-Fadl Abu al-Wahid at-Tamimi QS;
Diturunkan kepada Abu al-Faraj at-Tartusi QS;
Diturunkan kepada Abu al-Hasan Ali al-Hakkari QS;
Diturunkan kepada Abu Sa'id al-Mubarak al-Makhzumi QS;
Diturunkan kepada Abdul Qadir al-Jilani QS

Setelah menyelesaikan pelajarannya, Shaykh  Abdul Qadir al-Jilani meninggalkan kota Baghdad, dan menghabiskan 25 tahun sebagai seorang pengembara di padang pasir Iraq. Beliau berumur lebih daripada 50 tahun ketika kembali ke Baghdad, pada tahun 521 H(1127 M), dan mula berdakwah kepada masyarakat awam. Para pendengarnya sangat terpengaruh dengan gaya dan kandungan ceramahnya, dan reputasi beliau meningkat dan tersebar melalui setiap kelompok masyarakat. Tidak hanya umat Islam, tetapi juga para penganut Yahudi dan Kristian, tidak hanya khalifah dan para pembesar tetapi juga petani, peniaga dan pedagang telah mengubah kehidupan mereka hasil daripada ucapa-ucapan Shaykh Abdul Qadir. Beliau berpindah ke madrasah milik gurunya al-Makhzumi dan mengajar di madrasah itu. Pada pagi hari beliau mengajar hadits dan tafsir, dan pada petangnya beliau mengadakan perbincangan kerohanian dan keutamaan daripada Al Quran. Jumlah para penuntut ilmu meningkat sehingga kawasan madrasah itu sudah tidak mampu menampung jumlah mereka. Oleh itu, beliau memutuskan untuk membesarkan kawasan madrasah. Para pelajar dan orang ramai datang untuk membantu dengan sepenuh hati mereka. Bangunan-bangunan madrasah siap pada tahun 528 H dan setelah itu ia dikenali sebagai Madrasah Qadiriyya.

Beliau berkhidmat untuk Agama Islam selama 40 tahun. Dalam tempoh ini, ratusan manusia memeluk Islam kerananya. Antara tulisan-tulisan beliau ialah Futuh al-Ghaib, al-Fath ar-Rabbani, Jala' al-Khawatir, Malzufat, al-Ghunya li-Talibi Tariqa al-Haqq, Khamsata 'Ashara Maktuban, al-Fuyudat ar-Rabbaniyya, dan Sirr al-Asrar.

Beliau wafat pada hari Isnin, 11 Rabi'ul akhir 561 H (14 Feb 1166 M) ketika berusia 91 tahun, dan dimakamkan di Baghdad, Iraq. Ketika zaman Shah Ismail I pada zaman Dinasti Safavid, makamnya telah dimusnahkan. Namun, pada tahun 1535 M, Sultan Suleiman daripada Dinasti Uthmaniah telah membina kembali dan meletakkan kubah di atas makam beliau yang masih wujud sehingga kini. Tariqat yang didirikan olehnya telah dinisbahkan kepada namanya iaitu Tariqat Qadiriyya. Beliau merupakan moyang kepada Shaykh Nazim al-Haqqani di sebelah ayahnya. Semoga Allah merahmati dan mensucikan rohnya. Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment