Tuesday, April 28, 2015

Siapakah Mawlana Shaykh Nazim Al Haqqani Al Qubrusi ?

SIAPAKAH MAWLANA SHAYKH NAZIM AL-HAQQANI AL-QUBRUSI?

Nama lengkap Shaykh Nazim adalah Muhammad Nazim ‘Adil ibn al-Sayyid Ahmad ibn Hasan Yashil Bashal-Haqqani al-Qubrusi al-Salihi al-Hanafi QS. Semoga Allah SWT mensucikan ruhnya dan merahmati seluruh asal keturunannya. Kunya (nama panggilan) beliau adalah Abu Muhammad kerana putera sulung beliau bernama Muhammad. Selain itu beliau merupakan ayah kepada Baha’uddin, Naziha, dan Ruqayya.

Beliau dilahirkan pada tahun 1341 H/1922 M di kota Larnaka, Cyprus (Qubrus) daripada keluarga Arab dengan akar-akar budaya Tartar. Beliau berketurunan Shaykh ‘Abdul Qadir Al-Jailani QS di sis iayahnya dan Mawlana Jalaluddin ar-Rumi QS di sisi ibunya. Ini menjadikan beliau sebagai keturunan dari Nabi Muhammad SAW, dari sisi ayahnya, dan keturunan dari Sayidina Abu Bakar as-Shiddiq RA dari sisi ibundanya. Pada zaman kanak-kanaknya di Cyprus, beliau selalu duduk bersama datuknya, salah seorang Shaykh Thariqat Qadiriah untuk mempelajari spiritual dan disiplin. Beliau tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa pun, beliau selalu tersenyum dan sabar. Kedua-dua datuk dari sisi ayah dan ibunya melatih beliau dalam jalan spiritual.

Ayahnya mengirim beliau ke sekolah awam pada waktu siang dan pada petangnya mempelajari ilmu-ilmu agama. Beliau seorang yang genius antara rakan-rakannya. Setelah habis waktu persekolahan, Shaykh Nazim QS menghabiskan malam harinya untuk mempelajari Thariqat Mawlawiyah dan Qadiriah. Beliau mempelajari Ilmu Shari’ah, Fiqih, Ilmu Tradisi, Ilmu Mantik dan Tafsir al-Quran. Beliau mampu memberikan penjelasan hukum tentang masalah-masalah Islam secara luas. Beliau diberikan kemampuan untuk menjelaskan masalah-masalah yang sukar dalam bahasa yang jelas dan mudah.

Setelah menamatkan pendidikannya di Cyprus, Shaykh Nazim QS berpindah dan melanjutkan pengajiannya ke perguruan tinggi di Istanbul pada tahun 1359 H/ 1940 M, di mana dua orang saudara lelakinya dan seorang saudara perempuannya menetap. Di Istanbul, beliau mendapat kelulusan Ph.D dalam Bidang Kejuruteraan Kimia dengan keputusan yang sangat memuaskan berbanding rakan-rakannya. Ketika Profesor di universitinya memberi cadangan agar melakukan kajian dan penyelidikan, beliau mengatakan, “Saya tidak tertarik dengan ilmu moden. Hati saya selalu tertarik kepada ilmu-ilmu keruhanian.” Disana, beliau juga belajar bahasa Arab dan Fiqh, di bawah bimbingan Shaykh Jamalal-Din al-Alsuni RA (wafat 1375H/1955M) dan menerima Ijazah daripada Shaykh tersebut. Beliau juga mempelajari Tasawuf dan Thariqat Naqshbandi daripada Shaykh Sulayman Arzarumi QS (wafat 1368 H/1948 M) yang akhirnya menghantar beliau ke Syam (Syria). Beliau sering dilihat di Masjid Sultan Ahmad (Masjid Biru).

Shaykh Nazim QS melanjutkan Pengajian Syari’ahnya ke Halab (Aleppo), dan terutama di Homs. Dari Istanbul menuju ke Aleppo, beliau menaiki kereta. Sepanjang perjalanan tersebut, beliau masuk dari satu masjid ke masjid lain, solat, duduk dengan para ulama dan menghabiskan waktu untuk ibadah dan tafakur. Beliau berusaha untuk terus masuk ke Damaskus yang ketika itu sedang dijajah oleh Perancis yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi serangan dari British. Namun tidak dapat dan disebabkan itu beliau menetap di Homs, di Zawiyah dan Madrasah Masjid sahabat besar Sayidina Khalid al-Walid RA. Di sini, beliau belajar selama dua tahun di bawah bimbingan Ulama besarnya dan memperoleh Ijazah dalam Fiqh Hanafi iaitu daripada Shaykh Muhammad ‘Ali ‘Uyun al-Sud RA dan Shaykh ‘Abd al-Jalil Murad RA,dan ijazah dalam Ilmu Hadits daripada Muhaddits Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ibn Muhammad‘Ali ‘Uyun al-Sud al-Hanafi RA.

Perlu diketahui bahawa nama guru yang terakhir di atas itu adalah salah satu daripada sepuluh guru hadits kepada Rifai Hafizh di Aleppo, iaitu Shaykhul Islam ‘Abdullah Sirajal-Din QS, (1924-2002 M), yang duduk berlutut selama dua jam di hadapan Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz ad-Daghestani QS (Guru kepada Shaykh Nazim QS) ketika yang terakhir itu mengunjungi Aleppo pada tahun 1959 dan yang memberikan bay’at dalam Thariqat Naqshbandi kepada Shaykh Nazim QS, ketika Shaykh Nazim QS mengunjunginya kali terakhir di Aleppo pada tahun 2001, sebagaimana diriwayatkan kepada Dr. Gibril Fouad Haddad oleh Ustaz Muhammad ‘Ali ibn Mawlana al-Shaykh Husayn ‘Ali QS daripada Shaykh Muhammad Faruq ‘Itqi al-HalabiQS yang juga hadir pada peristiwa terakhir itu.

Shaykh Nazim QS juga belajar di bawah bimbingan Shaykh Sa’id al-Siba’i QS (Shaykh Thariqat Naqshbandi) yang kemudian menghantar beliau ke Damaskus setelah menerima suatu pertanda berkaitan dengan kedatangan Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz ad-DaghestaniQS ke Syria. Setelah kedatangan awal beliau ke Syria dari Daghestan di akhir tahun 30-an, Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS tinggal di Damaskus, tetapi sering mengunjungi Aleppo dan Homs. Di Kota Homs beliau mengenali Shaykh Sa’idal-Siba’i QS yang merupakan pemimpin Madrasah Sayidina Khalid al-Walid RA.Shaykh Sa’id QS menulis surat kepada Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS,

“Kami mempunyai seorang murid dari Turki yang luar biasa, yang sedang belajar daripada kami.”

Mawlana Shaykh ‘AbdullahFaiz QS menjawab kepadanya,

“Murid itu milik kami, kirimkan dia kepada kami.”

Murid tersebut adalah Shaykh Nazim QS. Lalu Shaykh Sa’id QS menguruskan perjalanan Shaykh Nazim QS menuju ke Damaskus. Dari Homs, Shaykh Nazim QS menuju ke Beirut dan pada tahun1364 H/ 1944 M, beliau pergi ke Tripoli dengan bas. Bas ini membawa beliau sampai ke pelabuhan yang masih asing, dan tidak seorang pun yang dikenalnya. Ketika berjalan mengelilingi pelabuhan, beliau melihat seseorang datang dari arah berlawanan. Orang itu adalah Mufti Tripoli yang bernama Shaykh Munir al-Malek QS. Beliau juga merupakan Shaykh atas semua Thariqat Sufi di kota itu. Shaykh Nazim QS tinggal dengan Shaykh Munir al-Malek QS selama sebulan, dan beliau mengatur perjalanan Shaykh Nazim QS untuk menuju ke Damaskus.

Dengan usaha beliau bersama Para Gurunya, akhirnya Shaykh Nazim QS tiba di Damaskus pada tahun 1945 dan bertemu dengan Mursyidnya, Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz ad-Daghestani QS. Setelah tinggal semalaman di kediaman Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS, keesokkan paginya beliau diperintah oleh gurunya itu untuk pulang ke Cyprus kerana kaumnya di sana memerlukan bantuan beliau. Selama satu setengah tahun melakukan perjalanan ke Damaskus, hanya selepas semalaman, beliau terpaksa pulang ke Cyprus yang sudah 5 tahun ditinggalkannya. Perintah itu diturutinya demi cinta kepada gurunya.

Ketika itu Perang Dunia II hampir tamat. Namun, tidak ada kenderaan awam yang boleh dinaiki untuk keluar dari Damaskus. Beliau telah menumpang trak seseorang menuju ke Pelabuhan Tripoli untuk pulang ke Cyprus. Setelah sampai di pelabuhan, tidak ada bot atau feri yang boleh membawa Shaykh Nazim QS ke Cyprus, namun dengan kuasa Allah, Shaykh Munir al-Malek QS berada di situ dan membawanya menetap di rumahnya selama 3 hari. Setelah itu, Shaykh Munir al-Malek QS membayar sejumlah duit yang banyak kepada seorang tuan perahu dayung dan akhirnya bersetuju untuk membawa Shaykh Nazim QS pulang ke Cyprus. Mereka belayar selama 7 hari 7 malam sebelum tiba di Pulau Cyprus.

Shaykh Nazim QS mula menyebarkan bimbingan spiritual dan mengajar Agama Islam di Cyprus. Ramai murid yang mendatangi beliau dan menerima Thariqat Naqshbandi. Seperti yang kita tahu, ketika itu, pengamalan sebarang agama di Turki adalah dilarang kesan ideologi bawaan Mustaffa Kemal at-Tarturk. Sesampainya beliau di Cyprus, langkah pertama beliau ialah menuju ke masjid di tempat kelahirannya dan mengumandangkan azan di sana. Lantas beliau dimasukkan ke dalam penjara selama seminggu. Sejurus dibebaskan, Shaykh Nazim QS pergi menuju ke Masjid Besar di Nicosia dan melaungkan azan di menaranya. Kejadian itu menyebabkan para pemerintah marah dan beliau direman kerana melanggar undang-undang. Sementara menunggu hari pembicaraan, Shaykh Nazim QS terus mengumandangkan azan di menara-menara masjid di seluruh Nicosia. Hal itu menyebabkan kes-kes Shaykh Nazim QS terus bertambah sehingga 114 kes yang mana jika disabit kesalahan Shaykh Nazim QS boleh dipenjarakan lebih dari 100 tahun. Peguamnya menasihati beliau agar berhenti melaungkan azan, namun Shaykh Nazim QS mengatakan :

“ Tidak, aku tidak boleh. Orang ramai harus mendengar panggilan untuk solat.”

Hari perbicaraan tiba. Pada hari yang sama keputusan pilihan raya diumumkan di Turki. Seorang lelaki bernama Adnan Menderes diangkat untuk berkuasa. Langkah pertama Adnan Menderes ketik adipilih menjadi Presiden adalah membuka seluruh masjid dan mengizinkan azan dilaungkan dalam Bahasa Arab. Oleh itu, dengan serta-merta, pembicaraan ke atas Shaykh Nazim QS terbatal dan beliau dibebaskan. Selama tinggal di Cyprus, Shaykh Nazim QS pergi ke seluruh pelusuk Kepulauan Cyprus untuk menyebarkan ajaran ketuhanan yang semakin hilang daripada masyarakat. Beliau juga mengunjungi Lubnan, Mesir, Arab Saudi dan tempat-tempat lain untuk mengajar Thariqat Sufi.

Pada tahun 1946, Mawlana Syaikh ‘Abdullah Faiz QS berpindah ke rumah baru beliau yang dibeli oleh murid Syria pertamanya, dan khalifahnya Mawlana Shaykh Husayn ibn ‘Ali ibn Muhammad ‘Ifrinial-Kurkani ar-Rabbani al-Kurdi as-Shaykhani al-Husayni QS (lahir 1336 H/ 1917M), (semoga Allah swt mensucikan ruhnya dan merahmati asal keturunannya) di Jabal Qasyiun.

Mawlana Shaykh Nazim QS tinggal di Damaskus sambil sesekali melakukan perjalanan untuk belajar atau sebagai wakil Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS. Pada 1952, beliau menikahi salah seorang murid Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS iaitu Hajjah Amina Adil QS. Sejak itu beliau menetap di Damaskus dan mengunjungi Cyprus setiap tahun, iaitu selama 3 bulan pada bulan Rajab, Sya’ban, dan Ramadhan.

Rumah Shaykh Nazim QS tidak pernah sunyi daripada penziarah. Paling sedikit seratus orang silih berganti mengunjungi rumah beliau setiap hari dan dilayani dengan baik. Rumah beliau dekat dengan rumah Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS di Jabal Qasyiun, sebuah pergunungan yang dapat dilihat dari kotanya, di sebelah tenggara Damaskus. Rumah simen beliau yang sederhana dengan segala perabot dibuat dari tangan dengan bahan kayu atau bahan-bahan semulajadi.

Pada tahun 1955 beliau melaksanakan khalwah pertamanya di bawah tunjuk ajar Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS selama enam bulan di Sueileh, Jordan. Setelah selesai khalwah di Jordan, Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS memerintahkan Shaykh Nazim QS untuk melaksanakan khalwah di Baghdad, Iraq, tepat di Maqam Qutub al-Awliya Sayyid Shaykh Abdul QadiraI-Jilani QS selama enam bulan.

Atas perintah Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS, beliau melakukan perjalanan menuju ke Aleppo dari Damaskus dengan berjalan kaki, dan berhenti di setiap daerah untuk menyebarkan Ajaran Islam dan Thariqat Naqshbandi. Jarak antara Damaskus menuju ke Aleppo adalah sekitar 400 kilometer. Memerlukan waktu lebih dari setahun untuk perjalanan pergi dan balik. Shaykh Nazim QS berjalan kaki selama satu atau dua hari. Apabila sampai di sesebuah daerah, beliau tinggal di situ selama seminggu untuk menyebarkan Thariqat Naqshbandi, memimpin zikir, melatih penduduk dan melanjutkan perjalanan beliau sampai ke daerah seterusnya. Nama beliau mulai terdengar di setiap lidah penduduk, mulai dari sempadan Jordan sehingga sempadan Turki di Aleppo.

Selepas kewafatan gurunya Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz ad-Daghestani QS pada tahun 1973, tampuk kekhalifahan sebagai Mursyid penerus dalam Thariqat Naqshbandiyah al-'Aliyyah telah dimandatkan kepada Shaykh Nazim al-Haqqani QS sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh Mawlana Shaykh 'Abdullah Faiz ad-Daghestani QS. Shaykh Nazim QS terus menetap di Damaskus beberapa tahun dan kemudiannya pulang semula kekampung halamannya, Cyprus. Beliau juga berjalan kaki ke Cyprus. Dari satu daerah menuju ke satu daerah, menyeru masyarakat agar kembali kepada Tuhannya dan meninggalkan segala materialisme, sekularisme dan atheisme. Shaykh Nazim QS menunaikan haji setiap tahun untuk memimpin Jemaah Haji Cyprus. Beliau melaksanakan ibadah haji sebanyak 27 kali.

Beliau amat dicintai diseluruh Cyprus, dan masyhur dengan sebutan ‘Shaykh Nazim berserban hijau /Shaykh Nazim Yesilbas’ kerana serban dan jubahnya yang berwarna hijau. Beliau selalu mengunjungi Lubnan.

Pada tahun 1974, beliau mula mengunjungi Eropah. Dari Cyprus, beliau menuju ke London dengan kapal terbang dan balik dengan kereta melalui jalan darat. Beliau melanjutkan pertemuan dengan setiap lapisan masyarakat daripada pelbagai daerah, bahasa, adat sehingga kepercayaan yang berbeza-beza. Orang ramai mula mengucapkan Kalimah Tauhid dan bergabung dengan Thariqat Sufi serta belajar tentang keruhanian daripada beliau. Senyum dan wajahnya yang bersinar amat dikenali di seluruh benua Eropah dan disayangi kerana membawa perasaan keruhanian yang sebenar-benarnya dalam kehidupan masyarakat.

Tahun-tahun berikutnya, beliau melakukan perjalanan kaki di wilayah Negara Turki. Semenjak 1978, beliau menghabiskan tiga hingga empat bulan di setiap daerah di Turki. Dalam setahun beliau berkunjung ke daerah Istanbul, Yalova, Bursa, Eskisehir dan Ankara. Dalam lain kesempatan beliau mengunjungi Konya, Isparta dan Kirsehir. Tahun berikutnya beliau mengunjungi persisiran selatan dari Adana menuju Mersin, Alanya, Izmir dan Antalya. Kemudian pada tahun berikutnya beliau menuju ke daerah-daerah timur, Diyarbakir, Erzurm sehingga ke sempadan Iraq. Kemudian kunjungan selanjutnya adalah di laut hitam, bergerak dari satu wilayah ke wilayah lain, dari kota menuju kota lain, dari masjid ke masjid menegakkan Syi’ar dan firman-firman Allah dan keruhanian di mana pun beliau berada.

Ke mana pun Shaykh Nazim QS pergi, beliau disambut masyarakat daripada lapisan yang bawah dan sederhana sehinggalah kepada golongan pemerintah. Beliau masyhur dengan sebutan ‘Al-Qubrusi’ di seluruh Turki. Shaykh Nazim QS merupakan Mursyid kepada Presiden Turki terakhir,Turgut Ozal yang amat menghormati beliau. Shaykh Nazim QS terkenal kerana pemberitaan yang luas dari media. Beliau ditemu ramah hampir setiap minggu oleh pelbagai stesyen TV dan pemberita yang menanyakan tentang pelbagai kejadian serta masa depan Turki. Beliau mampu menghubungkan antara pemerintah yang sekular dan kelompok Islam fundamental, seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW sehingga tercipta kedamaian di setiap hati dan fikiran daripada kedua belah pihak, baik dalam kalangan awam mahupun yang elit.

Pada tahun 1986, beliau telah mengadakan perjalanan menuju ke Timur Jauh iaitu Brunei, Malaysia,Singapura, India, Pakistan dan Sri Lanka. Beliau di terima baik oleh para Sultan, Presiden, anggota parlimen, pejabat pemerintah dan semestinya masyarakat awam. Beliau disambut dengan keramahan rakyat dan khususnya oleh Sultan Haji Hasan al-Bolkiah. Beliau digolongkan sebagai salah satu Shaykhterbesar Thariqat Naqshbandi di Malaysia. Di Pakistan, beliau dikenal sebagai penyegar Thariqat Sufi dan beliau mempunyai ribuan murid. Di Sri Lanka, dalam kalangan pemerintahan dan rakyat biasa, beliau mempunyai lebih daripada 20 000 orang murid. Muslim Singapura juga amat menghormati beliau. Beliau telah melantik YTM Raja Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Shah sebagai khalifahnya di Seluruh Benua Timur.

Pada tahun 1991, untuk pertama kalinya beliau mengunjungi Amerika Syarikat. Lebih dari 15 negeri yang beliau kunjungi. Beliau bertemu dengan pelbagai masyarakat daripada pelbagai alirandan agama: Muslim, Kristian, Yahudi, Sikh, Buddha, Hindu, New age, dan lain-lain. Usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh Shaykh Nazim QS di Barat, telah mengakibatkan tertubuhnya pusat-pusat kesufian di serata tempat di Eropah dan Amerika Utara. Pusat utamanya, terletak di London dan di kenali sebagai 'The Islamic Priory' yang mana bangunan (yang asalnya adalah gereja) ini merupakan hadiah buat Shaykh Nazim QS daripada seorang ketua negara sebuah Negara Islam yang kaya raya, iaitu Sultan Haji Hasan al-Bolkiah, Sultan Brunei Darussalam. Semoga Allah merahmatinya. Kunjungan ini telah menyebabkan berdirinya lebih daripada 13 buah pusat Thariqat Naqshbandi di Amerika Syarikat.

Kunjungan kedua pada tahun 1993, beliau telah pergi ke pelbagai daerah dan kota, masjid-masjid, gereja, sinagog (pusat ibadat Yahudi), dan candi-candi. Melalui beliau, lebih dari 10 000 orang rakyat USA telah memeluk Islam dan berbay’at dalam Thariqat Naqshbandi. Semasa kunjungan ini juga, beliau telah menjadi tetamu kehormat Majlis Pembukaan Pusat Latihan dan Konvensyen Haqqani di Fenton, Michigan. Pusat tersebut terletak diatas 200 ekar tanah ladang yang terkandung di dalamnya, rumah tetamu yang selesa dan besar, masjid, asrama-asrama, empat buah tasik dan 200 ekar tanah ladang yang dipenuhi rumput bagi haiwan ternakan hasil usaha menantu dan Khalifahnya, Shaykh Hisham al-Kabbani QS. Pusat yang terletak dekat Detroit ini, merupakan lokasi yang sangat strategik kerana terletak di tengah-tengah USA dan hampir dengan Kanada. Setakat ini, pusat tersebut telah menganjurkan beberapa siri perkhemahan dan seminar. Pada masa pembukaannya (1993) sahaja, ia dapat menampung 1 000 orang murid yang datang dari seluruh Amerika dan juga dari negara-negara lain.

Pada bulan Oktober 1993, beliau telah menghadiri perasmian kembali masjid dan sekolah Imam Bukhari di Bukhara, Uzbekistan. Beliau adalah orang pertama antara banyak generasi Imam Bukhari yang mampu mengembalikan daerah pusat para Awliya di Asia tengah itu, yang sangat kuat mengabadikan nama dan ajarannya dalam Thariqat ini.

Sebagaimana Shah Bahauddin Naqshband QS sebagai pelopor di daerah Bukhara dan Asia Tengah, juga Ahmad as-Sirhindial-Mujaddidi QS pelopor di milenium ke-2, dan Khalid al-Baghdadi QS pelopor kebangkitan Islam, Syari’ah, dan Thariqat di Timur Tengah, maka Shaykh Nazim ‘Adil al-Haqqani QS adalah pelopor, pembaharu dan penyeru umat agar kembali kepada Tuhannya di abad ini, abad perkembangan teknologi dan materialisme.

Mawlana Shaykh Muhammad Nazim al-Haqqani QS telah kembali ke Rahmatullah pada 7 Mei, 2014 (8 Rajab 1435) pada usia 92 tahun. Maqam dan tempat bersemadi beliau terletak di Lefke, Cyprus yang juga merupakan Dergah sufi dan rumahnya. Dakwahnya terus dikembangkan oleh para khalifahnya seperti Shaykh Hisham al-Kabbani QS (USA), Shaykh ‘Adnan al-Kabbani (Timur Tengah), Shaykh Hassan Dyck (Eropah dan Jerman), Shaykh Muhammad ‘Adil yang merupakan putera sulung beliau, Shaykh Baha’uddin ‘Adil yang merupakan putera kedua beliau, Shaykh Mustafa Mas’ud dan Habib Luthfi Ben Yahya (Indonesia) dan tidak dilupakan, dalam kenangan al-Marhum YTM Shaykh Raja Ashman Shah QS (Seluruh Benua Timur).

Apa Para Ulama’ KataTentang Shaykh Nazim al-Haqqani QS?
1. Pengarah pimpinan Dar al-Ifta’ (MajlisFatwa) di Beirut, Lubnan, Syaikh Salahud Diin Fakhri QS mengatakan kepada saya ketika di rumah beliau di Beirut dan menulis dengan tangan beliau,

“Pada suatu pagi di hari Ahad, 20 Rabiul Akhir 1386 H, bertepatan dengan 7 Ogos 1966 M, kami mendapat kehormatan untuk mengunjungi Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz ad-Daghestani Rahimahullah Ta’ala di Jabal Qasyiun di Damaskus atas usaha dan disertai oleh Mawlana al-Shaykh Mukhtar al-‘Alayli RA, Mufti Lubnan ketika itu (juga bapa saudara kepada Shaykh Hisyam al-Kabbani QS), Syaikh Husayn Khalid RA, Imam Masjid Nawqara, Haji Khalid Basyir RA, Shaykh Husayn Sa’biyya RA (Pengarah Dar al-Hadits al-Asyrafiyya di Damaskus), Shaykh Mahmud Sa’d RA, Shaykh Zakariya Sya’r RA,dan Haji Mahmud Sya’r RA. Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS menerima kami dengan amat baik dan disambut dengan ramah serta penuh kebahagiaan dan kegembiraan. Shaykh Nazim al-Qubrusi QS (semoga Allah swt merahmati dan menjaga beliau) juga berada di situ ketika itu!

Kami duduk daripada pukul 9 pagi sehingga tiba Azan Zuhur, sementara Mawlana Shaykh‘Abdullah Faiz QS menjelaskan tentang Syam (Syria), keutamaannya, kelebihan-kelebihannya yang luar biasa, dan bahawa tempat itu merupakan tempat Kebangkitan dan bahawa Allah swt akan mengumpulkan seluruh manusia di dalamnya untuk penghakiman dan hisab. Beliau menyebutkan pula hal-hal yang membuat hati dan fikiran kami tersentuh dan tergerak, dikuatkan pula oleh pengaruh suasana daerah Salihiyya yang suci, dan beliau berbicara pula tentang hubungan yang tidak terpisah, dalam praktikal mahupun teoritikal antara Tasawuf dengan Syari’ah. Semoga Allah swt membimbing dan menunjukkan kepada kita petunjuk-Nya dalam perkumpulan dan sohbah dengan Awliya’-Nya yang Shiddiq. Aamiin, yaa Rabbal ‘Aalamiin!”

(Kisah daripada Dr. Gibril Fouad Haddad)

2. Ketika seorang Wali Allah yang telah berumur 80 tahun di Johor, Malaysia, al-Habib ‘Ali ibn Ja’far ibn ‘Abd Allah al-‘Aydarus RA menerima kami di rumahnya pada bulan Mei 2003, dengan mengenakan pakaian yang tidak pernah berubah sejak tahun 1940-an, beliau terlihat seperti Mawlana Shaykh Nazim QS dalam segenap aspeknya, dan bahkan terlihat menyerupainya ketika beliau meminta maaf atas bahasa Arabnya yang kurang fasih. Ketika kami memohon doa beliau bagi negeri-negeri kita yang terluka dan bagi penduduk-penduduknya, beliau menjawab,

“Ummah ini terlindung dan berada pada tangan-tangan yang baik, dan pada Shaykh Nazim QS telah kau dapati kecukupan padanya!”

(Kisahdaripada sahabat-sahabat di Indonesia ketika menziarahi al-Marhum Habib ‘Ali pada tahun 2003)

3. Shaykh Ahmad Kuftaro RA, Mufti Besar Syria pernah memanggil Shaykh Nazim QS sebagai, “Shaykh kita yang teragung” dan memanggil Shaykh Nazim QS sebagai, “Mujahid di daratan dan di laut, di Timur dan Barat, di Utara dan Selatan”, semasa majlis ilmu pada pagi Jumaat di Abunur Dimasyq, Syria dengan kehadiran as-Syahid Sheikh Ahmad Yaasin.

4. Shaykh Yaqoubi RA tidak akan menyebut nama Shaykh Nazim QS melainkan dengan penuh kemuliaan dan penghormatan.

5. Shaykh ‘Abdul Qadir al-Jili RA dari Madinah, putera kepada Sidi Muhammad Mahi al-Bukhari RA apabila menziarahi rumah Masyaikh Naqshbandi (Mawlana Shaykh ‘Abdullah Faiz QS, Shaykh Nazim QS dan Shaykh Husayn QS) di Damaskus telah menggeletar tubuhnya daripada kepala sehingga kaki dan mengucapkan, ‘Allah, Allah…’ sepanjang ziarahnya.

6. Shaykh ‘Abdul Rahman as-Soughuri QS, Shaykh kepada Shaykh Nuh Keller RA, apabila melihat atau berjumpa murid Shaykh Nazim QS, akan berkata kepada mereka, “Ingat kami dalam doa kamu semua”.

7. Pada tahun 1960, Shaykh Nazim QS sedang belajar dan menetap di Damaskus, pernah ditanya oleh Shaykh Yahya Sabbah Qadri QS, turut ada Shaykh Abdul Wahab al-Salihi Shadzili QS, “Siapakah Mursyid kamu?” Shaykh Nazim QS menjawab Shaykh ‘Abdullah Faiz ad-Daghestani QS. Lalu Shaykh Yahya berkata, “Peganglah beliau dengan kuat kerana beliau salah seorang Wali Allah yang dapat melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga.”

8. Shaykh Sayid Alwi al-Maliki RA yang dianggap oleh jutaan manusia sebagai seorang Ulama’ yang berpengatahuan tinggi pada abad ini telah berkata, “Jika kamu mengikuti Shaykh Nazim al-Haqqani, maka kamu pasti menjadi Haqqani-orang-orang yang benar.” Beliau juga menambah bahawa, “Shaykh Nazim QS adalah Shaykh bagi para Mashaykh.”

9. Al-Habib Umar bin Hafiz RA apabila ditemui muridnya dengan ceria terus bertanyakan,“Bagaimana keadaannya Mawlana Shaykh Nazim QS sekarang?”

10. Shaykh Fahmi Zam Zam RA, (Shaykh Abu Alian-Nadwi al Maliki) apabila ditanya pernah berkata kepada saya ( Hayat Kiswah), “Shaykh Nazim QS adalah seorang pendakwah yang SANGAT HEBAT mengIslamkan manusia serata dunia”.

11. Masih ada ramai lagi nama-nama Ulama dan Awliya Syam yang mencintai dan bersahabat dengan Mashaykh Naqshbandi pada zaman keemasan, seperti Shaykh Muhammad Bahjat al-Baytar RA (1311-1396), Shaykh Sulayman Ghawji al-Albani RA (wafat 1378 H), Shaykh Wahbi RA, Shaykh Tawfiq al-Hibri RA, Shaykh Muhammad al-‘Arabi al-‘Azzuzi RA (1308-1382H) iaitu MuftiLubnan, Shaykh Husayn ‘Usayran RA, al-‘Arif Shaykh Syahid al-Halabi RA, al-‘Arif Shaykh Rajab at-Ta’i RA, Shaykh Najib Khayyata al-Farazi al-Halabi RA, al-‘Arif Shaykh Muhammad an-Nabhani RA, Shaykh Ahmad ‘Izzud-Din al-Bayanuni RA, al-‘Arif Shaykh Ahmad al-Harun RA (1315-1382 H), Shaykh Muhammad Zayn al-‘Abidin al-Jadzba QS, dan lain-lain. Semoga Allah swt merahmati mereka semuanya!

No comments:

Post a Comment