Sunday, March 6, 2016

Penjelasan Tentang Rabitah Bagi Yang Ingin Mengetahui

Penjelasan Tentang Rabitah Bagi Yang Ingin Mengetahui.

Sedikit penjelasan mengenai Rabiṭah yang mana akhir-akhir ini ada orang mempersoalkan tentang rabiṭah. Bukan menegakkan benda yang sudah ada akan tetapi memberitahu bahawa amalan ini sudah lama ada cuma kita saja yang tidak tahu dan tidak ambil peduli. Kita lebih suka menunding jari perkara yang kita tahu. Dalam masa yang sama kita tidak sedar kita masih lagi awwam dalam banyak perkara agama tetapi berlagak memberi fatwa menyesatkan tok-tok guru yang sudah lama menekuni ilmu tasawuf. Keterangan ini saya petik dari buku Dhiyaul Murid Syeikh Daud al-Fathani Pedoman Zikir Menuju Ilahi. Moga-moga terlerai benang yang kusut, lurus rambut yang masai dan terbit bauan harum dari ikhtilaf.

Pengertian rabithah jika diertikan dalam bahasa Melayu ialah “mengkhayalkan rupa guru ketika berzikir atau pada waktu selainnya”. Mengenai yang tersebut ini selalu dikecam oleh golongan reformis atau tajdid atau pembaru Islam masa kini. Oleh itu saya berasa perlu memberikan penjelasan mengenainya walaupun penjelasan yang agak ringkas pernah saya tulis dalam buku Perkembangan Ilmu Tasawuf dan Tokoh-tokohnya di Nusantara (Al-Ikhlas, Surabaya, 1980, hlm. 161-169). Rabithah atau mengkhayalkan rupa guru juga disebut oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam kitab Dhiyaul Murid yang ditransliterasi ini (lihat adab ketika berzikir urutan keempat belas). Mengenai yang tersebut bukanlah merupakan pendapat Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetapi adalah menjadi ketentuan dan pegangan semua ulama tasawuf atau tegasnya telah ijma’ atau ittifaq di kalangan mereka. Tidak terdapat seorang pun ulama tasawuf yang mengamalkan thariqat menolak perkara rabithah itu. Sebelum memberikan keterangan lanjut mengenai rabithah, di bawah saya saya sebutkan beberapa orang ulama mu’tabar yang membicarakan rabithah sedang mereka tidak menolaknya, di antara mereka ialah:

1) Syeikh Abdul Wahhab al-Sya’rani di dalam Madarijus Salikin dan al-Bahrul Maurud

2) Syeikh ‘Athaullah al-Askandari asy-Shazili di dalam Miftahul Falah

3) Syeikh Tajuddin al-Hanafi di dalam at-Tajiyah

4) Syeikh Ibnu Abi Daud al-Hanbali di dalam Tuhfatul ‘Ibad

5) Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulumid Din

6) Syeikh Utsman Wahabi di dalam ad-Durrul Ghali

7) As-Saiyid Abdullah al-‘Aidrus bin Saiyid Abi Bakar as-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman as-Saqaf di dalam Zahwul Mabasim

8) Saiyid Abdul Qadir al-‘Aidrus

9) Syeikh Ali al-Hanafi al-Idrisi di dalam ar-Risalatul Maimuniyah fi Tauhidil Jurumiyah

10) As-Saiyid Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani al-Madani di dalam an-Nafahatul Ilahiyah

11) Syeikh Adh-Dhiyauddin al-Kamasykhanawi an-Naqsyabandi di dalam Mutammimat Jami’il Ushul fi Aulia’ dan ramai lagi.

Dikalangan ulama mu’tabar dunia Melayu yang membicarakan perihal rabithah dan membenarkannya, antaranya ialah:

1) Syeikh Nuruddin ar-Raniri di dalam Jawahirul Ulum.

2) Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri di dalam Kifayatul Muhtajin dan ‘Umdatul Muhtajin

3) Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi di dalam Manzharul Ajla

4) Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani di dalam Hidayatus Salikin

5) Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam Dhiyaul Murid

6) Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi al-Minankabawi di dalam terjemahan ar-Rahmatul Habithah fi Zikriz Zati war Rabithah

7) Syeikh Nawawi al-Bantani di dalam Targhibul Musytaqin

8) Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar as-Sambasi an-Naqshbandi wal Qadiri di dalam imlak Fat-hul Arifin, dan ramai lagi.

Perlu disebutkan di sini bahawa baik ulama dunia luar atau pun ulama dunia Melayu ada yang membicarakan kedua-dua jenis rabithah, iaitu rabithah langsung kepada Rasulullah SAW dan rabithah kepada Syeikh Mursyid. Ada yang membicarakan salah satu dari kedua-duanya. Dengan disebutkan nama beberapa orang ulama yang terkenal dan kitab-kitab mereka jelaslah bahawa permasalahan rabithah adalah bersumber dari ulama-ulama mu’tabar Islam bukan direka-reka oleh orang jahil atau dari luar agama Islam. Oleh itu tiada alternatif lain melainkan bagi orang-orang yang benar-benar menerima sesuatu thariqat daripada Syeikh Mursyid atau yang benar-benar ahli dalam displin ilmu tersebut, hanyalah mematuhi atau mengikut yang telah digariskan oleh ulama. Tiadalah patut bagi seseorang pengamal sesuatu thariqat mengikut jalan fikirannya sendiri, betul menurutnya, tetapi ditunggangi oleh hawa nafsu dan syaitan sehingga membantah atau meragui keterangan-keterangan ulama mu’tabar yang telah berabad-abad menjadi pengangan dan ikutan sebahagian besar umat Islam baik di dunia antarabangsa mau pun dunia Melayu. Juga tiada patut pengamal suatu thariqat menerima sesuatu fatwa atau pendapat siapa saja, yang terdiri dari cerdik cendekiawan, intelektual, ahli ilmu, penguasa dan lain-lain golongan sedangkan mereka tidak pernah mendapat pendidikan dalam bidang thariqat shufiyyah, apabila fatwa dan pendapat mereka itu bertentangan atau bercanggah dengan fatwa dan pendapat para ulama mu’tabar yang sedia ada. Ulama mu’tabar dalam dispilin thariqat shufiyyah sangat ramai tetapi buat sementara waktu hanya sedikit saja nama mereka diperkenalkan seperti yang telah disebutkan di atas.

Walau bagaimana pun untuk lebih dapat bertambah jelas di bawah ini saya petik kembali tulisan saya yang pernah dalam buku Perkembangan Tasawuf kemudian dibuat lagi penambahan-penambahan baru. Petikan “…sehingga generasi kini lancang dan terlanjur menuduh merabithahkan Syeikh yang dilakukan oleh golongan thariqat shufiyyah itu adalah syirik, kerana menyembah guru, katanya. Padahal sampai sekarang belum kita ketemukan bahawa seorang pun pengikut shufi yang mengi’tiqadkan demikian. Saya, penulis buku ini berkesimpulan bahawa mempelajari ilmu pengetahuan dalam Islam terbahagi kepada dua, iaitu belajar secara lahiriyah. Iaitulah memerlukan guru, murid berhadapan dengan guru, atau membaca buku dan sebagainya. Jalan yang satu lagi ialah berguru secara batiniyah seperti yang dilakukan oleh golongan shufi. Golongan kedua ini selain belajar dengan guru secara lahir dan membaca kitab atau buku namun mereka belajar pula secara batin, iaitu rohaniyahnya bertemu dengan rohaniyah syeikhnya. Rohaniyah bertemu secara rohaniyah itu bukanlah beerti menyembah kepada guru. Jika demikian itu dianggap syirik, apakah belajar secara biasa, iaitu guru berada di hadapan atau membaca buku juga dihitung menyembah guru atau menyembah buku dibaca itu? Dari kerananya rabithah yang dilakukan oleh golongan shufi tadi janganlah anda lekas menuduh mereka telah melakukan syirik yang diharamkan syurga bagi golongan syirik itu, seperti yang telah difirmankan oleh Allah Ta’ala”. (Dirakamkan kembali dari buku yang tersebut dengan beberapa tambahan dan pembetulan, lihat terbitan Al-Ikhlas, Surabaya, hlm. 168 tahun 1980).

Untuk rujukan dalam Kitab “Dhiyaul Murid” ada menyebut, dalam Fashal Yang Ketiga: Pada Menyatakan Adab Zikir (الفصل الثالث في آدابها):

Perkara Empat Belas

Bahawa mengkhayalkan rupa syeikhnya pada antara dua matanya. Maka itu terlebih sangat muakkad bagi memberi bekas. Maka dihadirkan rupa syeikhnya pada hatinya, dan menuntut penolong daripadanya. Dan dilihat bahawasanya ia penolong daripada penolong Nabi kita. Dan hati Nabi SAW selama-lamanya berhadap kepada hadhrat Tuhannya. Maka apabila dikerjakan yang demikian itu, maka limpah pertolongan “al-Ilahiyyah” daripada “Hadrat Ilahiyyah” kepada hati penghulu kita. Dan daripada hati kita Nabi Muhammad SAW kepada segala hati masyaikh daripada satu kepada satu hingga sampai kepada berzikir itu. Maka jadi dapat pertolongan dan mendapat pemberian Allah pada kita jika ada benar hatinya. Dan terkadang didapatnya pada lambungnya dan segala sendinya bagai sakit, dan jahil sedikit pada hatinya pada sir panas.

Sumber:
Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah.1996. Dhiyaul Murid Syeikh Daud al-Fathani Pedoman Zikir Menuju Ilahi. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.

No comments:

Post a Comment