Wednesday, April 15, 2015

Salam pengenalan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuhu,

Terlebih dahulu hamba yang fakir lagi jahil ini memperkenalkan diri sebagai seorang aktivis kesenian dan kebudayaan Melayu yang menetap di Negeri Melaka Bersejarah. Sejak kecil hamba didedahkan dengan dunia persilatan Melayu dan secara tidak langsung terlibat juga dengan ilmu kerohanian Islam kerana dunia persilatan dan kerohanian Islam itu sangat berkait rapat bagi yang memahaminya.

Hamba walaupun tidak berpeluang untuk belajar Agama Islam sehingga tahap alim, namun hamba sejak kecil ada kecenderungan untuk berdamping dengan golongan mualim dan ustaz, mungkin juga kerana latarbelakang keluarga yang menekankan kehidupan berteraskan tasawwuf Islam.

Hamba juga bukan pintar menulis, walaupun waktu remaja pernah sempat berkarya dalam kesusasteraan Melayu sejak zaman sekolah menengah, waktu itu hamba sangat akrab dengan dunia pidato, debat, penulisan cerpen, sajak dan terakhir hamba pernah diupah menulis lirik untuk beberapa individu dalam dunia seni ...Hingga kini sudah lebih 25 tahun hamba tidak menumpahkan sebarang karya di atas kertas terutamanya sejak terjun dalam karier perniagaan keluarga yang kalau ada pun penulisan terhad kepada Kertas Kerja perancangan perniagaan dan yang seumpamanya.

Namun, secara tiba-tiba dalam meniti usia awal 40'an ini, hamba terpanggil untuk mewujudkan blog ini yang dengan izin Allah akan hamba penuhi dengan menghimpun penulisan dari berbagai sumber berkaitan Islam terutamanya dalam manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah, akidah Al Asyairah Wal Maturidiah dan amalan tasawuf sufi. Hamba terpanggil kerana kebelakangan ini, hamba merasa sangat sedih dengan kegilaan memfitnah ulama sufi, tasawuf, tariqat, pencinta qasidah, selawat dan ahlul bayt. Hamba tiada bukti dan ilmu untuk menuduh, namun berdasarkan sedikit kefahaman dari beberapa guru hamba, gerakan ini didalangi oleh pihak pihak berkepentingan dikalangan umat Islam sendiri, contohnya penyokong gerakan Wahabi.

Rasanya telah banyak blog dan narasumber untuk kita memahami asal usul dan bahaya gerakan Wahabi di kalangan umat Islam.

Atas kesedaran yang tinggi untuk mempertahankan para ulama dan para masyaikh yang kami cintai, maka dengan kurnia Allah hamba diberikan gerak dan iltizam untuk mewujudkan blog ini bagi memudahkan para pencari maklumat mencari semua jawapan tentang tuduhan, tohmahan dan fitnah ke atas golongan ulama yang Haq.

Maafkan hamba atas sebarang kekurangan dalam blog ini, segala kemusykilan silalah rujuk kepada ahlinya, dan hamba doa semoga kita semua dapat manfaat dari usaha kecil hamba ini. Wallahualam Bissawab ...


PURAKESUMA


No comments:

Post a Comment