Jawapan Fadhilatu al-Allamah Dr. Ali Jum'ah seputar isu berkenaan Tariqat Naqsyabandi al-Haqqani, Syaikh Nazim Haqqani, zikir menari dan mengucup kaki guru
1) Berkenaan mengucup kaki, ianya warid dalam Sunan Abi Daud[1], bahawa rombongan (kabilah)Abdul Qais, mengucup tangan Nabi dan kakinya, akan tetapi ianya tidak menjadi kebiasaan para sahabat untuk melakukan sedemikian, oleh kerana itu, terutamanya ketika berlakunya kekeliruan,dan berlakunya fitnah, tidak digalakkan untuk melakukan sedemikian. Namun ianya dibolehkan, dari sudut waridnya(sabit dalil) perkara tersebut, seperti kisah rombongan Abdul Qais tadi. Dan perbuatan mencium/mengucup tersebut adalah satu bentuk penghormatan, akan tetapi sekiranya ianya dijadikan kebiasaan, dan dilakukan dihadapan orang awam sehingga tampak seolah-olah ia sujud kepadanya, maka akan berlaku fitnah di atas fitnah, maka ini bukanlah daripada kebijaksanaan, dan bukan daripada hikmah.
2) Berkenaan isu penyebaran video-video tersebut di Youtube dll, saya kira ianya tidak boleh sekali-kali dijadikan sumber bagi pengetahuan/penghukuman, kerana manipulasi, penyelewengan potongan(cut) dan pengubahan terhadapnya merupakan satu perkara yang mengerikan, sehingga ianya membenarkan apa yang telah disabdakan Nabi SAW, "dan makin banyak tersebar penipuan", mereka memotong-motong video, kemudian memain-mainkan(menokok tambah), sehingga orang ramai menyangka bahawa ia melihatnya dengan matanya, sedangkan tidak sama sekali..
Pada awal-awal dahulu, kita ada mengatakan, selidiklah /pastikanlah dengan apa yang kamu dengarkan, dan janganlah kamu mendahulukan apa yang kamu dengar berbanding apa yang kamu lihat, sehinggalah munculnya Youtube dan sebagainya, maka kini kita mengatakan, tidak, selidiklah pada setiap apa yang kamu dengar dan juga setiap apa yang kamu lihat. Kerana ianya bukanlah penglihatan yang mempamerkan kebenaran, sebaliknya ia melihat satu perkara, yang boleh jadi, dan memang pada kebanyakannya, ianya direka-reka / dimanipulasi.
3) Berkenaan keadan-keadaan yang berlaku pada orang-orang yang berzikir(seperti menari, meloncat) sekiranya hal-hal tersebut adalah benar-benar berlaku tanpa disengajakan/dibuat-buat, maka ia tidak tertakluk dengan hukum taklifi. Iaitu seperti seorang lelaki yang masuk(hadhrah zikir), tidak mampu menahan perasaannya, sehingga kelihatan berlaku pada dirinya hal-hal tersebut(tanpa disengajakan).
Dan hal-hal seumpama ini bukanlah menunjukkan kesempurnaan, kerana golongan yang sempurna(sampai ke martabat kemuncak dan tinggi di sisi Allah), tidak zahir pada mereka keadaan-keadaan ini. Oleh kerana itu kita tidak melihat perkara seperti ini pada para sahabat, tidak juga pada golongan tabiin, akan tetapi ianya zahir(setelahnya) ketika munculnya hati-hati yang sempit, yang menampung banyaknya makrifat-makrifat yang melimpah pada hati seorang 'arif, maka keseimbangan dirinya menjadi tempang tak terkawal, maka ini adalah hal kekurangan, dan bukan hal kesempurnaan, dan bahawasanya, ia ketika itu hilang kendalian akalnya, tidak mampu mengawal dirinya.
Sebaliknya sekiranya ia melakukannya secara sengaja, seperti dengan bergerak-gerak/menari dalam keadaan ia mengikut-ikut dan buat-buat seolah-olah ia berada dalam keadaan(zauq), maka ianya haram, kerana ia meniru-niru dan buat-buat, dalam keadaan ia pada hakikatnya tidak berada dalam hal tersebut. Maka ia termasuk dalam bab riya' dan sum'ah wal'iyazubillah, dan ini adalah sebaliknya daripada apa yang menjadi tujuan ahlullah daripada tasawuf dalam perkara ini..
4) Berkenaan soalan tentang individu tertentu, bahawa fulan dan gurunya fulan, adakah mereka berada pada jalan naqsyabandiyah yang asli, perkara ini memerlukan kajian yang dalam, perlu untuk meneliti kitab-kitab mereka, begitu juga kitab-kitab tariqat mereka, kemudian kita lihat, adakah di sana ada kesilapan/kesesatan, dan adakah kesesatan ini pada sebahagian aspek pengamalan mereka, dan adakah ianya bertentangan dengan syariat, dan sebagainya... dan maklumat tentang perkara ini masih belum cukup pada kami(untuk menghukum).. kerana ianya memerlukan kajian yang menyeluruh pada perkara-perkara tadi(sebelum menghukum)..
Akan tetapi kami mempunyai pandangan secara umum, iaitu bahawasanya setiap yang makin hampir tariqatnya dengan sunnah Nabi SAW, dan berpegang teguh dengannya, maka ianya adalah satu perkara yang baik dan utama dan lebih perlu untuk dijaga..
Dan apa yang kami lihat ketika berjumpa Syaikh Nazim di Amerika, bahawa beliau sangat berpegang teguh dengan sunnah, sampai tahap bahawa beliau tatkala habis menunaikan solat sunat fajar, beliau baring sebentar di atas lambung kanannya, untuk mendapatkan pahala sunnah(sepertimana warid dalam hadis-hadis), sedangkan beliau ketika itu di masjid, beliau baring sebentar pada sisi kanannya, kemudian beliau bangun.. Maka personaliti seperti ini, iaitu yang teguh dengan sunnah, bahkan sunnah ini adalah perkara yang halus dan sering diabaikan orang, yakni amalan setelah solat sunnat fajar, ia baring sebentar pada sisi kanannya, untuk mencontohi Rasulullah SAW, perkara ini mengharuskan kita untuk benar-benar menjaga diri untuk tidak celupar berkata-kata tentang dirinya dengan merendah-rendahkannya dan seumpamanya.. Rahimahullah ta'ala.
-Fadhilatu al-Allamah as-Syaikh Dr. Ali Jum'ah hafizahullah.
[1] Hadis Riwayat Imam Abu Daud no. 5227
Petikan Video
[Jawapan Fadhilatu al-Allamah Dr. Ali Jum'ah seputar isu berkenaan Tariqat Naqsyabandi al-Haqqani, Syaikh Nazim Haqqani, zikir menari dan mengucup kaki guru]
Moga Allah merahmati dan meredhai guru-guru kita
https://www.youtube.com/watch?v=vaQ9qe3IWZc
No comments:
Post a Comment