ILMU YANG SUCI KEMBALI KEPADA YANG MAHA SUCI (AL-QUDDUS)...
Diriwayatkan bahawa seorang tabiin , Abdul Wahid bin Ziyad rah. Pernah bertanya kepada Al-Hasan Basri rah. Tentang apa yang dimaksudkan dengan ilmu batin. Al-Hasan Basri menjawab bahawa beliau pernah bertanya kepada Huzayfah Al-Yamani r.a tentangnya juga. Huzayfah r.a berkata bahawa dia pernah bertanya kepada malaikat Mikhail a.s tentang ilmu batin dan Mikhail a.s menjawab dia pernah bertanya dengan al-Qalam yang menjawab bahawa dia pernah bertanya kepada Allah s.w.t tentang ilmu batin, lalu Allah s.w.t menjawab:
“Ilmu batin adalah salah satu rahsia-Ku . Aku menyembunyikannya daripada makhluk-Ku dan menitipkannya hanya kepada hamba-hamba pilihanKu. Ia adalah hasil makrifat dan pengabdian berkekalan kepadaKu”.
Junayd Al-Bahgdadi q.s pernah berkata “Seandainya ilmu yang aku sampaikan berasal dari diriku sendiri, pastilah ilmu itu akan musnah dan habis begitu saja. Namun, ilmu yang aku berikan itu berasal dari kebenaran dan akan kembali kepada kebenaran “.
Pada zaman sekarang memang banyak ilmu, tetapi tidak bermanafaat untuk akhirat. Itu sebabnya Rasulullah s.a.w mengajar kepada kita untuk berdoa dengan doa “Aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanafaat”.
Sebaliknya ini bermakna kita disuruh mencari ilmu yang hakiki, yang dapat memberikan kebahagiaan kepada diri kita di dunia dan di akhirat iaitu ilmu batin = ilmu tasawuf yang merupakan mahkota segala ilmu. Tinggalkan ilmu yang tidak berguna dan melalaikan , tinggalkan ilmu yang membawa kepada hiburan dan kesenangan hawa nafsu , sebaliknya carilah ilmu hakikat agar anda mencapai makrifat = mengenal Allah s.w.t dengan sebenar-benar kenal, dapat bertemu denganNya (paling tidak dalam mimpi), berbual mesra denganNya, berada disampingNya pada waktu dan hari yang mustajab.
Seorang tabiin Al-Katani rah. berkata “ Ilmu tentang Allah s.w.t itu lebih baik daripada ilmu dan ibadah keranaNya”. Seterusnya Abu Abdullah al-Dainuri rah. menyatakan bahawa “ Ilmu yang paling tinggi dalam tasawuf adalah ilmu tentang nama-nama dan sifat-sifat Allah “ , lalu siapakah pula yang dapat mengajarkannya kepada kita melainkan mereka yang pernah berjumpa dengan Allah s.w.t sendiri – yang mengajari kita apa yang kita tidak tahu lalu dengan kasih sayangNya kita dapat beramal dengannya pula, lalu batin kita menjadi kuat dan lapang untuk Dia bertajalli dengan DiriNya sendiri kepada DiriNya sendiri.
Arif Billah Abu Talib al-Makki q.s (dalam bab 2 kitab “ Ilm al-Qulub”) menukilkan bahawa :
Ilmu mendudukan pemiliknya dipintu langit (frontier knowledge), akal (yang didampingi wahyu) mendudukan pemiliknya di Arsy dan makrifat mendudukan pemiliknya di sisi Tuhan. Cahaya makrifat bersambung terus dengan Tuhan tetapi tidak demikian halnya dengan cahaya ilmu. Ilmu boleh dimiliki orang kafir dan mukmin sedangkan makrifat hanya dimiliki orang mukmin. Ilmu bersifat umum , makrifat bersifat khusus. Akhir ilmu iman adalah awal ilmu yaqin, akhir ilmu yaqin adalah awal ilmu ‘ainal yaqin dan akhir ilmu ‘ainal qakin adalah awal ilmu haqq al-yaqin (yakin yang tertinggi). Bagi haqq-al yaqin tidak ada akhirnya sebagaimana tidak ada akhirnya bagi Hari Akhirat.
Sahl bin Abdullah al-Tustari q.s dalam menafsirkan ayat 32 surah Fathir (35):
“....lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri, di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada pula yang lebih dahulu berbuat kebajikan .....”
“Yang lebih dahulu berbuat kebajikan” adalah orang alim , “yang pertengahan “ adalah orang yang sedang belajar dan “yang menganiaya diri sendiri” adalah orang yang bodoh dan tidak mahu mencari ilmu.
Semoga Allah s.w.t sentiasa menganugerahkan kita ilmu yang bermanafaat dan yang datang dari ilham Rabbani. Dan semoga Allah s.w.t memperkenalkan diriNya kepada kita dan seterusnya mengajari kita secara langsung , Amiiin Ya Rabbal Alamin.
(Mohd Affendi Aripin)
No comments:
Post a Comment