Sunday, May 31, 2015

Zikir menari diterima ulama besar dunia (Utusan Malaysia)

Zikir menari diterima ulama besar dunia

OLEH MOHD. AZRAIE MD. YUSOF (PENGARANG@UTUSAN.COM.MY)

24 Mei 2015 12:49 AM

KUALA LUMPUR 23 Mei - Seorang pengamal tarekat tampil mempertahankan amalan-amalan yang dilakukan tarekat baharu yang didakwa mirip Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim Al-Haqqani.

Abdul Kareem Said atau lebih dikenali sebagai Sheikh Kareem yang merupakan pengamal Tarekat Naqsyabandiah Khalidiyyah berkata, orang Islam di negara ini tidak boleh terus menjatuhkan hukum ke atas sesuatu amalan yang tidak menjadi kebiasaan di negara ini seperti zikir sambil menari.

Dakwa beliau, zikir sambil menari bukan perkara baharu malah telah diterima dan diamalkan oleh ulama-ulama besar di seluruh dunia termasuk dari negara ini.
Sebagai contoh, kata beliau, tokoh agama yang tidak asing di negara ini, Datuk Dr. Haron Din memutuskan zikir sambil menari itu harus dan ia dibuat bersandarkan kepada al-Quran dan hadis.

“Satu dunia dari Syria, Sudan, Mesir, Jordan dan sebagainya boleh menerima amalan ini. Tidak semestinya apabila kita di Malaysia tidak biasa melihat atau mengamalkannya, maka kita jatuhkan hukum ia menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Islam bukan milik kita sahaja di Malaysia. Kalau kita Ahli Sunnah Wal Jamaah, sepatutnya kita kena terima kerana jamaah itu bermaksud pendapat kebanyakan ulama. Jadi kalau kebanyakan ulama membenarkan, kenapa kita tidak boleh terima?” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Mingguan Malaysia hari ini yang mendakwa satu tarekat baharu mirip Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah pimpinan Sheikh Nazim Al-Haqqani yang diharamkan di negara ini mula mempengaruhi masyarakat Islam Malaysia.

Mengulas mengenai kemungkinan Sheikh tarekat baharu itu berbaiah dengan Sheikh Nazim, Sheikh Kareem berkata, terdapat dua jenis baiah iaitu taat setia dan tampalan atau tumpang.
Beliau menjelaskan, baiah taat setia adalah baiah yang menjadikan ketua sesuatu tarekat sebagai mursyid manakala bagi baiah tampalan, ketua tersebut tidak dianggap mursyid sebaliknya individu yang berbaiah menumpang dengan mursyid tersebut sebagai tanda hormat.

“Sebagai contoh, kalau saya jumpa bekas Mufti Negeri Sembilan, Sheikh Datuk Mohd. Murtadza Sheikh Ahmad yang merupakan Sheikh Tarikat Ahmadiah Al-Idrisiyyah dan berbaiah dengan beliau, tidak bermaksud saya ikut kaedah tarekat beliau.

“Jadi apabila ada yang mendakwa Sheikh tarekat baharu tersebut berbaiah dengan Sheikh Nazim, maka dia ikut Sheikh Nazim, itu tidak betul. Dalam tasawuf ini biasa. kita perlu mendalami dahulu ilmu tasawuf untuk memahami perkara ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai fatwa yang mengharamkan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah, beliau berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya menzahirkan dalil beserta bukti kukuh bagi menyokong keputusan itu.

“Fatwa ini pendapat sekumpulam ulama. Tidak semestinya semua keputusan yang dibuat itu benar kerana mereka juga manusia. Sebab itu kita nak tengok dalil, kitab mana yang dirujuk. Kalau ada yang tak sependapat, kita boleh cabar,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/zikir-menari-diterima-ulama-besar-dunia-1.95014#sthash.HsbtW6yf.dpuf

No comments:

Post a Comment