Friday, June 5, 2015

Zikirlah Dengan Tauhid

ZIKIRLAH DENGAN TAUHID...

...Seorang  teman berkata kepadaku, "Sudah banyak zikir yang kubaca, sudah kuhafal seluruh maknanya dan ada telah kualami keajaiban karamahnya. Hanya satu yang masih terasa kurang bagiku. Mengapakah dalam berzikir aku masih belum dapat merasakan dekat dengan Allah? Seolah-olah Allah itu jauh dariku, dan aku jauh dariNya. Seperti ada batas atau hijab pemisah antara aku dan Allah. Konflik persoalan ini terus bermain di lubuk fikiranku, sehingga terbawa-bawa ke klimaks batin yang amat membingungkan tanpa penjelasan. Akhirnya membuatkan aku sendiri merasa jemu untuk meneruskan zikir. Apakah ada yang salah pada zikirku? Padahal zikir-zikirku itu kuperolahi secara talqin dan ijazah dari seorang guru mursyid!"

Pertanyaan darinya itu tidak kujawab secara spontan. Agak lama aku terdiam sambil mengambil waktu untuk berfikir. Setelah aku yakin mungkin dapat membantu pertanyaannya itu, dengan tenang aku cuba berkata;

1. masalah yang utama sekali ialah dalam zikir itu kau tidak mengenalNya sebagaimana mengenalNya dengan sebenar-benarnya kenal. Kau sekadar mengenalNya dalam ilmu-ilmu kalam yang kau pelajari tetapi tidak dengan rahsia misykat qalbumu yang terdalam. Apabila kau tidak mengenalNya dengan qalbu, maka asas niatmu untuk berzikir itu tidak kau bangunkan dari sudut yang benar dan sempurna. Justru itu kau harus memperbetulkan niatmu dahulu. Kemudian kau bina niatmu itu semata-mata demi Allah. Setiap ibadah itu seharusnya dibangunkan atas dasar tauhid dan taqwa dan bukan kerna mendambakan ganjarannya. Orang yang berzikir itu sewajarnya berada di maqam ikhlas. Bersabda Nabi saw, "Sesungguhnya (nilai) niat itu lebih utama dari perbuatan."

2. apabila kau tidak mengenalNya melalui misykat qalbumu, maka zikirmu itu bertindak atas kemahuan nafsumu sendiri. Kesilapanmu adalah kerana kau terlalu bergantung dengan amalmu dan tidak dengan rahmat dan kasih-sayang Allah. Lantaran itu kau menganggap zikirmu adalah dari usaha dirimu sendiri dan bukan dari kurniaan Allah.

3. kau beranggapan ketika kau berzikir bahawa kaulah yang mengingati Allah dan Allah itulah yang diingati. Lantaran demikian, sebenarnya kau tidak berserahkan dirimu sepenuh-penuhnya kepada Allah, tiada sifat tawakal dan redhamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya redha dan tawakal. Bagaimana mungkin kau dapat dekat dengan Allah selagi kau belum berserah diri kepada Allah?

4. Sesungguhnya tiada yang mengingati Allah melainkan Allah, tiada yang memuji Allah melainkan Allah. Dirimu hanyalah bekas penzahiran Allah. Kau sebenarnya tiada, kosong semata-mata. Kau bukanlah kau sebenarnya. Ketika kau berzikir, sebenarnya bukan kau yang berzikir, tetapi Allah yang berzikir memuji DzatNya sendiri. Kau sekadar menjadi alat pilihanNya. Suara zikir yang melantun keluar dari lisanmu adalah sebenarnya suara Allah. Kau sekadar berzikir dilidah dan Qalbumu sedangkan pezikir yang hakiki adalah takluq sifat Kalam Allah. Gema zikir yang menerawang dalam batinmu adalah sebenarnya kalam Allah. Sayangnya kau tidak menyedarinya...kerana tidak mengenaliNya...bahawa Dialah hakikat disebalik sesuatu.

5. janganlah kau berzikir dengan tujuan zikir kerana zikir. Kerana ini akan membuatmu terperangkap dan terpesona di maqam yang akan memperlihatkan pelbagai keajaiban karamah, tetapi ini jugalah yang menghambatmu dalam perhubungan makrifat dengan Allah. Pedulikan tentang keajaiban-keajaiban zikir yang terutamanya boleh mendatangkan pujian dan gelaran orang kepadamu sebagai 'Wali'. Berzikirlah dari Allah dengan Allah kepada Allah bersama Allah untuk Allah dan demi Allah. Tutuplah rapat-rapat pintu bibirmu agar zikir itu tidak kedengaran oleh sesiapa pun, hatta malaikat yang bertugas mencatatkan amalmu di bahu kanan pun tidak tahu di manakah munculnya zikir itu. Biarkan Allah sahaja yang tahu zikir itu berada di dalam 'Sirrmu' – yakni di kamar yang Jibrail sendiri pun dilarang memasukinya, agar kau terlepas dari rasa ujub dan riak serta tidak dipuji orang.

6. jika kau telah dapat menjalankan zikir atas rasa ikhlas semata-mata kepada Allah dan Allah redha kepadamu, ketahuilah bahawa ikhlas itulah tauhid sebenarnya, Allah sendiri yang akan membimbingmu dan mengajarkanmu zikir yang khusus yang hanya kau sahaja yang mengetahui tentang rahsia zikir itu, dimana zikir itu tidak diajarkan atau diketahui oleh orang awam, sebagai sarana untuk kau bertemu, mengenal dan bersama denganNya.

7. Dan terakhir sekali apa yang ingin kukatakan; tinggalkanlah semua dunia dan akhirat dan bersamalah hanya dengan Allah dalam setiap tujuan. Kau harus mematikan seluruh wujud dirimu. Selagi ada wujud dirimu, maka Zikir Haq ini mustahil dapat kau lakukan dengan sebaiknya. Zikir Haq itu ialah ingat kepada Allah dengan Allah bersama Allah dalam sudut qalbumu yang terdalam serta dalam suasana yang paling diam dan hening tanpa perlu mengeluarkan sebarang ucapan hanya merasakan kehadiran Allah itu ada bersama-samamu di mana pun kau berada, sehinggalah kau dapat merasakan bersatu denganNya seperti terbakarnya besi ke dalam api, besi itu menjadi api, api itulah besi yang membakar- tidak kau lihat sesuatu sebelumnya melainkan Allah, tidak kau lihat sesudahnya melainkan Allah, tidak kau lihat sesuatu di dalamnya melainkan Allah, akhirnya tiada lagi yang wujud melainkan Allah di dalam maqam Insan Al-Kamil – sampai cukup masanya besi telah keluar dari api sebagai besi yang indah dan sempurna, tidak lagi sebagai besi yang hodoh dan berkarat serta berkebaikan buat kehidupan dunia dan akhirat.

wallahuaklam.

2 comments: