Sunday, April 25, 2021

BATIN SILAT - MENCARI TUHAN

‘BATIN SILAT’:

Nak kenal Allah molek la pi mengaji ilmu hakikat sampai jazam, tiada syak, zhon dan waham hingga sampai ke Haqqul Yakin. 

Ilmu tauhid Sifat 20 itu adalah asas atau prinsip untuk kita menggali sampai ke hakikat. Hakikat pada segala syariat. Insyaallah prinsip yang jelas dalam Sifat 20 itu akan mengawal kita agar tidak tergelincir ke jurang kesesatan kerana ‘syariat itu akan menyatakan hakikat dan hakikat itu akan menyatakan syariat’. Tiada pertembungan dan perbalahan antaranya. 

Pabila ada Tassauf, maka akan adalah kemurnian dan kebersihan jiwa. Perkara mazmumah yakni riak, ujub dan takbur akan diperangi untuk mencapai nilai mahmudah yang menzahirkan keikhlasan, keredhaan dan keikhsanan dalam pembawaan diri. Jika orang di tingkatan feqah berperang dengan pihak lain berkaitan prinsip (pembidaahan, pengkafiran dan sebagainya), maka orang di tingkatan tassauf ini berperang dengan diri yang tidak wujud agar yang ada dalam ‘dirinya’ hanyalah diri yang wujud. Allahyarham Wali Allah Tok Kenali meninggalkan pesan bahawa, “Kita ini jangan terlihat sampai adanya diri”.

Berjumpalah dengan mursyid dalam urusan keilmuan itu. Namun fahamilah bahawa bahasa hakikat ini tidak sama dengan bahasa syariat. Jika tidak memahami konsep falsafah, analogi dan pemaknaan yang dalam dan berlapis-lapis mungkin kita akan tenggelam dalam salah faham dan tuduhan melulu. Sekali lagi dinyatakan prinsip Sifat 20 itulah yang akan menghalang ketergelinciran atas kehendak Allah. Bertahanlah kita menyelam ke dasar Samudera Tassauf hingga diketemui apa yang sepatutnya kita ketemui atas tuntutan kepada kita sebagai insan untuk menyaksikan akan wujudnya Dia. 

Insyaallah akan diberikan makrifat oleh-Nya. Tingkatan ilmu yang perlu difahami dan dikuasai dalam beragama itu ialah syariat (feqah), thoriqat (jalan) dan hakikat (isi). Jika betul semuanya sampailah kita ke maqam Hakikat. Orang di maqam itu tiada lagi membidaahkan, mengkafirkan dan sebagainya. Bagi mereka tiada apa yang wujud selain Allah, makhluk seperti kita ini hanyalah pernyataan wujudnya Allah. 

Asbab  pengamalan ilmu berkenaan sebermula dari Sifat 20 itulah generasi lama dahulu yakni beberapa lapis di atas kita amat berani berjihad fisabillah. Mereka tidak gentar akan keris lembing, lela rentaka,gajah rimau dan sebagainya. Mereka memugar belantara menjadi laman, mereka merantau menyeberangi 7 lautan, mereka berpetualang menegakkan kebenaran. 

Dalan bergayung, guru memberi ajar. Kenal diri mengenal tuhan. Nafi dan isbat jadi pegangan. Empat sifat menyata wujud. Nafinya pada Salbiah, isbatnya pada Ma’anawiyah. Maka binasalah sifat Ma’ani pada pada diri yang tiada dan wujudlah diri sebenar diri hakikat mutlak. Tertajalilah Nafsiah, diri yang wujud sebenar wujud. Rahsia itu bukan rahsia tapi ia berahsia dalam ‘Tapak Bergayung’. Kupasnya dengan ilmu, hadamnya dengan akal. Jazamnya tiada lagi sandaran kepada makhluk. Jauhlah bersyirik lagi menyengutukan apalagi menyamakan dengan makhluk pada sebarang dzat, sifat, asma’ dan af’al. Tiadalah Dia boleh disamakan dan diumpamakan secara hakikat. 

Tidak Aku jadikan manusia melainkan untuk menyimpan rahsia-Ku dan sesungguhnya manusia itu rahsia-Ku dan diri Akulah yang menjadi rahsianya." (Hadis Qudsi).

Makhluk itu rahsia Allah dan Allah itu rahsia makhluknya. Bongkarkan dan pecahkanlah pada diri yang binasa agar hidup diri yang wujud sebelum kembali menyatu. Maka bermusyahadahlah jiwa pada sebenar penyaksian atas kehendak Dia yang ingin disaksikan. 

...... berjumpalah dengan guru yang boleh membawa jalan jika ingin pedoman. Tulisan Pakngah ini sekadar membuka jalan sahaja bagi segelintir yang mahu menkaji. Insyaallah jika ada persoalan kita akan mencari jawapan. Antara kasih sayang Allah SWT ialah apabila Dia memberikan persoalan kepada kita. Insyaallah.

Pakngah mohon ampun dan maaf atas sebarang kekeliruan atas kecetekan ilmu dan akal Pakngah ini. Agak lama Pakngah menulis ini, sejak sebelum Subuh sehinggalah selepas 
Subuh membawalah ke jam 7:48 pagi (13 Ramadhan 1442).

Sekian, salam kasih sayang yang berpanjangan.

Nukilan : Pak Ngah Jusnizan Ramli

No comments:

Post a Comment