Tuesday, June 16, 2020

ZIKIR ISMU AL-ZAT "ALLAH" DARI LANDSKAP QUR'AN, SUNNAH & TURATH ULAMA' MUKTABAR

ZIKIR ISMU AL-ZAT "ALLAH" DARI LANDSKAP QUR'AN, SUNNAH & TURATH ULAMA' MUKTABAR


Abd Rahman Tajudin @ Emang Galileo
Fellow Counter Narrative Centre for Countering Violent Extremism (CONCAVE), Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI).


Sesungguhnya zikir Ismu Zat "Allah" mempunyai dalil ilmiah daripada Al-Qur'an, As-Sunnah dan juga kitab Turath Ulama' yang muktabar.

Sesunggunya Allah SWT menyuruh kepada sekalian manusia untuk mengingat kepada Allah dengan berzikir sebanyaknya. Zikir itu juga bermakna mengingat secara bahasanya. Ini jelas seperti di dalam surah Al-Baqarah, Allah berfirman:

فَٱذْكُرُونِىٓ أَذْكُرْكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِى وَلَا تَكْفُرُونِ

"Ingatlah kamu (berzikir) kepada-Ku, niscaya Aku ingat (pula) kepadamu" 
(Al-Baqarah : 152).

Berzikir kepada tuhan itu dengan penyebutan nama-Nya. Ini jelas apabila Al-Qur'an sendiri menyatakan kepada manusia untuk menyebut nama tuhan. 

Maka ternyata nama tuhan adalah "Allah". Allah adalah Ismu Al-Zat. Ismu Rabb (Nama Tuhan)  adalah Allah SWT. Dalil ini jelas dalam Al-Qur'an : 

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا

"Dan sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepada-Nya dengan sepenuh hati." (Al-Muzzammil: 8)

Dalam sejarah peradaban manusiapun, para anbiya' disuruh berzikir dengan penyebutan nama Allah SWT ini. 

Ini jelas tercatat dalam Al-Qur'an apabila Allah SWT berfirman kepada Nabi Zakariya AS agar menyebut nama-Nya dan bertasbih sebanyak-banyaknya di waktu pagi dan petang.

Dalilnya adalah firman Allah SWT:

وَٱذْكُر رَّبَّكَ كَثِيرًا وَسَبِّحْ بِٱلْعَشِىِّ وَٱلْإِبْكَٰرِ

“…Dan sebutlah (nama) Tuhanmu sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah di waktu petang dan pagi hari.” (Ali Imran: 41).

Maka tersangat jelas disuruh berzikir dengan nama tuhan iaitu "Allah" dan juga disuruh bertasbih "SubhanAllah" pada bila-bila masa sahaja.

Malah al-Qur’an dengan jelas dan terang menyuruh agar orang beriman berzikir dengan menyebut kalimah "Allah" tersebut. Firman Allah SWT dalam Al-Qur'an : 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

“Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.” (Al-Ahzab : 41).

Ayat tersebut menganjurkan orang beriman untuk menyebut nama "Allah" sebanyak-banyaknya. 

Ayat surah Al-Ahzab ini dengan jelas tanpa takwilan dan tafsiran menyuruh untuk berzikir nama "Allah" dengan sebanyak-banyaknya.

Selain daripada neraca dalil Al-Qur'an, kita akan menemui beberapa hadis yang menyatakan zikir dengan penyebutan kalimah "Allah" itu mempunyai sandaran yang kuat. 

Ini direkodkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim menyatakan:

عَنْ أَنَسٍ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ: اللهُ، اللهُ 

“Dari Anas, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Kiamat tidak akan terjadi hingga di muka bumi tidak disebut lagi : Allah, Allah.” (HR. Muslim).

Malah salah satu tanda kiamat adalah apabila tiada lagi manusia berzikir kalimah "Allah" di atas muka bumi ini. 

Maka jelas di sini virus Wahabi yang melarang zikir "Allah" adalah salah satu daripada kemunculan Dajjal yang merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat yang besar.

Jikalau kita meneliti tulisan kitab ulama' silam, kita akan mendapati hampir keseluruhannya menyuruh umat Islam agar berzikir dengan menyebut kalimah "Allah" ini. 

Ini dapat dibuktikan apabila Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali telah menjelaskan kepada kita cara-cara berzikir iaitu dengan penyebutan kalimah "Allah" sebagaimana berikut:

فإن أصل طريق الدين القوت الحلال وعند ذلك يلقنه ذكراً من الأذكار حتى يشغل به لسانه وقلبه فيجلس ويقول مثلا الله الله أو سبحان الله سبحان الله أو ما يراه الشيخ من الكلمات 

“Maka sesungguhnya dasar dari jalan tasawuf adalah makanan yang halal. Maka ketika itu terpenuhi, hendaknya seorang guru mentalqinkan kepada muridnya salah satu bentuk zikir hingga lisan dan hatinya sibuk dengan itu. Ia duduk dan misalnya berkata: “Allah, Allah” atau “Subhanallah Subhanallah” atau redaksi lain yang diajarkan oleh gurunya.” (al-Ghazali, Ihya’ Ulum ad-Din, III, 77).

Daripada literasi kitab ulama' muktabarpun, kita menemui zikir ini dengan kalimah "Allah", SubhanAllah, Alhamdulillah, La ilaha IllAllah, Allahu akbar dan sebagainya.

Malah Imam ar-Ramli yang merupakan ulama' mujtahid mazhab Syafi’iyah menyatakan dalam kitab fatwanya tentang zikir kalimah "Allah" mendapat pahala:

ـ (سُئِلَ) عَنْ قَوْلِ الْقَائِلِ فِي مَجْلِسِ الذِّكْرِ اللَّهُ اللَّهُ فِي حَالِ صَحْوِهِ مِنْ اسْتِغْرَاقٍ هَلْ يُسَمَّى ذِكْرًا أَوْ لَا، وَإِذَا قُلْتُمْ بِأَنَّهُ لَا يُسَمَّى ذِكْرًا هَلْ يُثَابُ عَلَيْهِ أَمْ لَا؟ يُثَابُ لِقَصْدِ الذِّكْرِ 


“Imam ar-Ramli ditanya tentang ucapan seseorang di majlis zikir "Allah, Allah" di saat ia tersedar dari keheningan zikirnya, apakah itu disebut zikir atau tidak? Dan bila tidak, apakah berpahala atau tidak?” Ar-Ramli menjawab: “Ia mendapat pahala sebab berniat zikir (ar-Ramli, Fatawa ar-Ramli, IV, 358).

Malah ulama'-ulama' zaman silam telah mengamalkan zikir "Allah Allah" ribuan kali. Ini tercatat di dalam kitab-kitab turath ulama' silam. Al-Hafidz Az-Dzahabi ketika menulis biografi seorang ulama bernama Ibnu Najiyah, beliau menjelaskan:

ﻗﺎﻝ اﺑﻦ ﻋﺴﺎﻛﺮ: ﻗﺎﻝ ﻭﻟﺪﻩ ﺇﺳﻤﺎﻋﻴﻞ: ﻛﺎﻥ ﺃﺑﻲ ﻓﻲ ﻛﻞ ﻳﻮﻡ ﻭﻟﻴﻠﺔ ﻣﻦ ﺃﻳﺎﻡ ﻣﺮﺿﻪ ﻳﻘﻮﻝ: اﻟﻠﻪ اﻟﻠﻪ، ﻧﺤﻮا ﻣﻦ ﺧﻤﺴﺔ ﻋﺸﺮ ﺃﻟﻒ ﻣﺮﺓ، ﻓﻤﺎ ﺯاﻝ ﻳﻘﻮﻟﻬﺎ ﺣﺘﻰ ﻃﻔﻰء.

Ibnu Asakir berkata bahwa putranya Ibnu Najiyah berkata: “Ayahku setiap waktu pagi dan malam kerika sakitnya mengucapkan “Allah Allah” sekitar 15000 kali. Beliau selalu mengucapkan sampai ia redup” (Siyar A’lam An-Nubala’ 15/110).

Jelas kepada kita para ulama' zaman silam melakukan zikir "Allah" sebanyak-banyaknya. Maka marilah kita sama-sama berzikir dengan Ismu Zat "Allah" sebanyak-banyaknya. 

Disamping zikir Ismu Zat itu juga kita perbanyakkan zikir dengan ucapan tasbih SubhanAllah, ucapan Tahmid Alhamdulillah, ucapan Tahlil La Ilaha IlAllah dan ucapan takbir Allahu akbar.

Biarkan virus wahabi yang melarang zikir "Allah", biarkan mereka di dalam kegelapan yang nyata. Ayat Al-Qur'an berikut ini sudah cukup bermakna kepada para pencinta Allah yang sentiasa melirikkan zikir "Allah".

 Allah SWT berfirman:

قُلِ ٱللَّهُ ۖ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِى خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ


Maknanya: “ Sebutlah "Allah" kemudian biarkanlah mereka bermain dalam kesesatannya” (Q.S. al An’am: 91).

Secara konklusinya zikir "Allah" itu mempunyai dalil dan hujahan yang kuat daripada landskap Al-Qur'an, As-Sunnah dan kitab Turath warisan Ulama' Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

الله الله الله الله

No comments:

Post a Comment