Saturday, June 3, 2017

BAIK BURUK SALAH BETUL SEMUANYA DARI ENGKAU!

BAIK BURUK SALAH BETUL SEMUANYA DARI ENGKAU!

Semalam telah menjadi sejarah. Hari semalam telah menjadi Hari Ini. Tahun Depan telah bergelar Tahun Ini. Inilah PERATURAN kehidupan yang diciptakan. KEHIDUPAN itu BERUBAH ! Peraturan Kehidupan yang Berubah-Ubah inilah satu-satunya undang-undang alam yang KEKAL, yang tidak akan berubah! Soalnya, apakah perubahan itu kita dapat rasakan pada diri kita? Samada jawapannya Ya atau Tidak, hanya diri kita sendiri yang tahu.

Renung-renungkan jawapannya. Bertafakurlah seketika dengan masuk ke dalam sarung bernama JASAD yang menyelimuti DIRI ini.  Kusyuklah dengan membuang segala ingatan. Hanya dengan kusyuk,  barulah engkau bisa mendengar  Suara Jantung mu (suara hati). Jika engkau masih tidak dapat mendengarkannya, maka merayulah kepada Hakikat Pencipta untuk diperdengarkan Suara Jantung mu itu. Bersabarlah ! Barangkali engkau tidak mendengarkannya kerana sememangnya engkau tidak pernah INGAT pun untuk berhubung dengan DIRI mu sendiri sejak engkau dilahirkan.

Teruskan kekusyukan mu, meskipun engkau masih belum  mendengarkannya. Berbisiklah dengan DIRI mu sendiri sepuasnya. Andainya dalam bisikan itu engkau berdukacita,  kecewa atau marah atau cemburu, maka itu tandanya, engkau telah ada senjata. Dukacita, kecewa, marah dan cemburu itu adalah hal BURUK yang engkau perlu gunakan sebagai senjata perang bagi mendapatkan hal BAIK. Inilah peperangan kehidupan yang telah ditetapkan oleh Hakikat Pencipta. Untuk mendapatkan hal BAIK, engkau perlu kenal hal BURUK.

Latihlah dirimu mengenali hal BURUK ini. Keburukan itu berada di FIKIRAN mu.  Engkau harus ingat bahawa FIKIRAN itu amat bijaksana. Ia boleh jadi apa saja yang engkau fikirkan! Jika engkau fikirkan marah, ia menjadi amarah. Kau fikirkan dukacita, ia jadi nestapa.  Kau fikirkan cemburu, ia jadi celaka. Kau fikirkan tenang, ia jadi aman. Kau fikirkan Kasih, ia jadi Cinta. Kau fikirkan bahagia, ia jadi sejahtera. FIKIRAN itu tersangat licik lagi bijaksana. Ia menjadi apa saja yang engkau inginkan!

Kini, bila si FIKIRAN  itu datang kepadamu, engkau sudah tahu apa yang boleh engkau lakukan. DIRIMU sendiri  yang mencorakkan FIKIRAN  itu untuk menjadi BAIK atau BURUK.

Belajarlah mengenali Suara Jantung mu (suara hati), kerana dari jantung itulah lahirnya  getaran gelombang yang menzahirkan  perasaanmu. Ketahuilah, perasaan itu adalah ba-ha-sa Roh. Engkau adalah bang-sa Roh yang berkomunikasi dengan bahasa perasaan. Sesungguhnya, jika engkau berada di persimpangan dalam membuat keputusan, maka ikutlah Suara Jantungmu. Suara Jantung yang benar-benar menggetarkan perasanmu.  Namun jangan pula kau tinggalkan AKAL, kerana akal itu sentiasa membawa si-FIKIRAN  yang  licik lagi bijaksana itu. Gunakan akal sekadar untuk menimbang, namun kata putusnya adalah pada SUARA JANTUNG (hati)  mu !  Sesungguhnya, keseimbangan antara AKAL dan JANTUNG  itu adalah sangat perlu.

Bila engkau telah belajar memahami  erti keseimbangan ini, maka engkau akan menjadi lebih arif. Jika engkau dungu, engkau menjadi lebih tahu, dari tahu engkau menjadi cerdik, dari cerdik engkau pandai, dari pandai engkau bijak, dari bijak engkau arif, dari arif engkau KENAL.  Maka, belajarlah mengenali DIRIMU sendiri. Jangan kau harapkan guru mengajarkan mu. Guru hanya menunjukkan jalan, namun engkau sendiri yang harus melalui jalan yang ditunjukkannya itu. ENGKAU yang memahamkan DIRIMU sendiri. Kefahaman datang dari ENGKAU, bukan dari gurumu. Jangan sesekali engkau menerima kebenaran dari orang lain. Kebenaran orang lain, belum tentu benar bagi engkau dan kebenaran engkau belum tentu benar bagi orang lain. Maka bertanyalah, belajarlah, kajilah,  fikirlah, carilah kebenaranmu sendiri ! Engkau tahu engkau benar, bilamana engkau dapat merasakan GETARAN kebenaran itu di dalam peRASAanmu. Engkau tahu engkau benar bila engkau lebih IKHLAS, lebih IHSAN dan lebih BERANI maka capailah TAJRID.

Pada persangkaan umum memang sifat IKHLAS itulah maqam tertinggi kerna tidak semua orang bisa berbuat ikhlas dengan sesungguhnya baik kepada Allah ataupun sesama manusia. namun dalam terminologi tasawuf, ada maqam yang lebih tinggi dari itu, iaitu maqam TAJRID. kerna sifat ikhlas masih lagi dikatakan memandang amal itu dari perbuatan diri sendiri seseorang itu, sedangkan sifat tajrid tidak lagi memandang amal itu dari perbuatan diri sendiri kecuali dari Allah kepada Allah kerna Allah. Dengan demikian, ahli tajrid tidak lagi bersusah-payah untuk sentiasa menjaga, mengawasi atau memikirkan amalnya ikhlas atau tidak kerna telah berserah sebulat-bulatnya kepada Allah bahwa yang berbuat amal itu bukan dirinya melainkan Allah sedangkan dirinya itu telah tiada atau fana, tiada daya kudrat dan iradat melainkan pada Allah.

Dengarkanlah Suara Jantungmu (suara hati), percayakannya dan ikutlah. Jika engkau tidak percayakan DIRIMU, maka kepada siapa lagi yang engkau harapkan ?

Ketahuilah Allah itu Maha Suci dan Maha Esa dari segala sesuatu. Selagi "Allah" itu boleh difikirkan, boleh disebut, boleh dirasa, boleh didengar, boleh disentuh, boleh dilihat mahupun terlihat, itu BUKAN Allah ! Segalanya itu masih berkaitan dengan MAKHLUK yang dijadikan Allah. DIA-lah haqiqat segala makhluqat.

“Allah” itu adalah bahasa Rasa, BUKAN bahasa kata-kata.

Namun, 'rasa' itu cuma kaedah bahasa atau perkataan gelaran yang digunakan untuk mengenal Allah. Bukan bermaksud, Allah itu dapat dirasa. Bila sudah mengenal, maka diri sendiri akan dapat 'merasakan' perasaan Kenal itu. Sesungguhnya, Kenal yang sebenar Kenal itu adalah apabila KELU segala pancaindera zahir dan batin untuk menyatakan perasaan KENAL yang dialami itu. Bermaksud, tiada suatu bahasa, tiada suatu perasaan dan tiada segala sesuatupun zahir dan batin yang dapat menyatakan dan mengungkapkan perasaan KENAL ini termasuklah penggunaan perkataan KELU ini sekalipun. Selagi boleh menyatakanNya, selagi itu belum kenal walaupun KELU !

Bila sudah KENAL, maka segala deria PENGAMATAN yang 5, alat TINDAKAN yang 5, dan pancaindera BATIN yang 2, akan IKHLAS menjalankan tugasnya.

( Deria PENGAMATAN : Dengar (Telinga), Lihat (Mata), Bau (Hidung), Rasa (Lidah) Sentuh (Kulit). ALAT  TINDAKAN :  Alat Tangan, Alat Kaki, Alat Mulut, Alat Kelamin, Alat Kumuh . Pancaindera BATIN : Akal (Otak),  Roh (Hati).

Bila telah mengenal, batin tidak mahu lagi berpisah dengan apa yang dikenal. Diri akan KUSYUK menyaksi dan menyatakan YANG DIKENAL itu. Yang dikenal itu ibarat kekasih yang tersangat dicintai yang dia tidak mahu berpisah dariNya buat selama-lamanya. Batin sentiasa asyik lagi mashyuk hingga lupa kepada peranan deria PENGAMATAN, lupa kepada peranan alat TINDAKAN dan lupa kepada peranan pancaindera BATIN.

Tatkala telinga mendengar, tatkala mata melihat, tatkala hidung mencium bau, tatkala lidah merasa, tatkala kulit menyentuh, ketika tangan bergerak, ketika kaki berjalan, ketika mulut mengunyah, ketika berkelamin, ketika berkumuh, ketika berfikir, ketika bermimpi malah tatkala mati jasad sekali pun, batin yang mengenal, akan sentiasa kusyuk dan berterusan berhubung dengan  kekasihNya tanpa mau putus.

Perhubungan berterusan yang tidak putus inilah yang digelar SOLAT DAIM. Solat Daim inilah menjadi fardhu yang difardhukan (ke-wajib-an yang diwajibkan) ke atas setiap diri. Perhubungan yang berterusan di antara HATI dengan PENCIPTANYA yang tiada batas waktu dari Subuh sambung ke Zohor sambung ke Asar sambung ke Maghrib sambung ke Isyak dan kembali semula ke Subuh tanpa putus.

Solat yang tanpa putus adalah solat yang KUSYUK. Dengan kusyuk, barulah Solat itu dinamakan Solat. Tanpa kusyuk, solat hanya sekadar sebutan sebuah NAMA dari bahasa Arab yang tidak ada JIWA.

Kusyuk itu bukan bermaksud fokus untuk ingat kepada Allah. Mustahil Allah itu boleh diingat atau difokuskan kerana Allah itu bersifat : Mukhalafatuhu lilhawadith (berbeza dengan semua makhluk ciptaanNya) yang tidak terjangkau segala batin dan zahir makhluk untuk mengingat kepadaNya.

Kusyuk di sini bermaksud, telah melupakan segala sesuatu, zahir dan batin. Bila lupa kepada segala sesuatu, inilah yang dikatakan Mati Sebelum Mati. Bila mencapai Mati Sebelum Mati, maka inilah yang dikatakan telah mengenal hakikat Diri yang sebenar.

Bila kenal hakikat diri, itu tandanya ingat ! Untuk mengingat kepada sesuatu, perlu melupakan segala sesuatu ! Untuk mengingat Allah, perlu lupakan makhluk Allah. Itulah prinsip kusyuk !

Bila telah mengenal hakikat Diri, maka segalanya pada diri kita zahir dan batin akan berada dalam 'mode' atau kuasa  “AUTO CRUISE". Ibarat pesawat yang bebas bergerak secara "Auto Cruise" tanpa peranan pilot atau juruterbang. Kuasa “Auto Cruise” ini menukarkan peranan deria PENGAMATAN, Alat TINDAKAN dan Pancaindera BATIN dari fungsi manual ke fungsi Auto.

Sains menggelarkan kuasa “Auto Cruise” ini sebagai Sub Concious Mind. Melayu memangilnya Minda Bawah Sedar, Cina mengatakan Qian-yi-shi, Tamil menamakannya Arl-mannathill manakala Arab menyebutnya  : Al-u’qul Al-bathin (العقل الباطن), . Berlainan bahasa sebutan tetapi merujuk kepada perkara yang sama.

Bila KUSYUK segala peranan diri batin dan zahir akan dipulangkan kembali kepada TuhanNya. Bila segalanya telah dipulangkan, maka tiada lagi peranan makhluk, segalanya MATI ! Mati itu penyerahan sepenuhnya diri batin dan diri zahir kepada Tuhan pencipta sekian alam. Bila segalanya telah diserahkan, apalagi yang tinggal? apa lagi yang dimahukan? apa lagi yang diharap? Tiada !!

Bila tiada mengharapkan sesuatu, inilah IKHLAS !

Bila IKHLAS batin dan zahir, maka jasad akan menzahirkan personaliti yang positif, baik lagi mulia. Pekerti baik lagi mulia inilah yang dinamakan IHSAN. Ihsan inilah yang dizahirkan oleh Tuhan Rabbul'alamin dalam setiap kejadian langit dan bumi ciptaaNya. Ihsan inilah bukti betapa Dia Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada seluruh makhlukNya tanpa ada batasan bangsa, agama, jantina, umur atau pendidikan. Atas Ihsan inilah, Dia menitipkan mega halus, sekelumit penzahiran RohNya kepada setiap makhluk ciptaanNya agar sang makhluk dapat mengenaliNya.

Atas Ihsan Tuhan Pencipta Alam inilah kita boleh boleh ber-TASDIQ (membenarkan dengan hati dan mengerjakan dengan perbuatan) kepada DIA. Tasdiq inilah tunggaknya IMAN. Atas Ihsan Tuhan itu jua, barulah diri boleh ber-tasdiq menyatakan DIA. Tasdiq dari diri yang Ikhlas, akan membina diri yang ber-Iman. Iman itulah tiangnya ISLAM. Goyang Iman, runtuhlah Islam. Kuat Iman, kukuhlah Islam.

Islam yang kukuh melambangkan AGAMA yang benar. Agama yang benar adalah agama yang memberikan Nasihat yang Selamat.

NASIHAT yang SELAMAT itulah AGAMA ISLAM !

No comments:

Post a Comment