Ilmu Mengenal Allah (Makrifatullah)
MUKADIMAH
IKTIKAD KETUHANAN, SYIRIK DAN ILMU
Perkara pokok yang perlu kita ketahui ialah iktikad ketuhanan. Jika rosak iktikad kita tentang ketuhanan, maka rosaklah segala amalan dan ibadat kita ditolak oleh Allah. Justeru itu perlulah kita ketahui sedalam-dalam dan secara terperinci tentang iktikad ketuhanan ini, dimana pada hari ini tidak diperbincangkan lagi dan tidak dititik beratkan lagi oleh sebahagian besar umat Islam terutama para cerdik pandai Islam pada zaman ini. Kita rasa amat sedih sekali, kerana dewasa ini aspek-aspek ketuhanan ini telah diperingankan dan dianggap menyeleweng oleh sebahagian besar umat Islam terutama cerdik pandai Islam dimasa ini. Jadi bagaimanakah pegangan kita tentang iktikad ketuhanan?. Rasullallah saw bersabda; "Untuk mengetahui tentang ketuhanan wajiblah menuntut ilmu dan untuk menjalani sesuatu amalan atau ibadat wajiblah kita menuntut ilmu". Pepatah ulamak-ulamak dahulu ada berkata "Fardhu sebelum fardhu". Menuntut ilmu itu fardhu ain pada setiap lelaki dan perempuan yang mukallaf, iaitu tiga ilmu yang wajib dituntut, iaitu
ILMU USULLUDIN @ TAUHID
ILMU FEKAH
ILMU TASAUF.
Sebagai contoh, iaitu untuk menyampaikan faham kepada kita, iaitu kita ibaratkan tiga ilmu itu sebagai orang yang hendak menjala ikan, yang bertujuan dan bermatlamat untuk mendapat ikan. Sebelum hendak menjala wajiblah kita ketahui beberapa peraturan atau undang-undang untuk menggunakan jala tersebut, contohnya seperti dibawah:-
TAUHID @ USULUDDIN
Sebelum kita menebar jala, perlulah kita pastikan tempat yang hendak kita menebar jala tersebut tidak ada halangan didalam air, seperti kayu, batu atau sebagainya. Walaupun kita sudah pandai menebar jala tetapi jikalau kita tidak pandai memeriksa tempat yang hendak kita menjala, sudah pastilah matlamat untuk kita mendapat ikan jadi sia-sia sahaja, kerana jikalau terkena kepada kayu atau batu sudah pastilah jala tersebut akan pecah atau koyak dan ikan yang diharapkan terlepas. Oleh itu TAUHID juga ialah suatu ilmu yang terpenting, yang mana kita hendak mengusul sehingga kita dapat mentauhidkan atau mengesakan Allah dengan sebenar-benarnya.
Jadi apabila kita hendak mengerjakan sembahyang bermakna kita hendak menyembah Allah, dan sebelum kita hendak menyembah tentulah kita kena ketahui dan kenal dengan tuan yang hendak kita sembah. Sembahyang itu menyembah Allah, tetapi adakah kita kenal dengan Allah yang kita sembah?. Ibaratnya; jikalau kita mengerjakan (menebas) kebun atau ladang seseorang, sedangkan tuan yang empunya ladang tersebut kita tidak kenal, cukup seminggu atau sebulan kita hendak minta upahnya, dari atau kepada siapa yang kita hendak minta upah?. Atau adakah tuan punya ladang tersebut rela dengan permintaan kita?.
Begitulah juga dengan amal atau ibadat kita, kita berkehendakkan pahala atau syurga, sedangkan tuan yang empunya pahala dan syurga atau tuan yang kita tujukan amal ibadat kita, kita tidak ketahui dan tidak kenal, jadi kepada siapa yang hendak kita minta pahala atau syurga?. Dan juga jikalau kita mengerjakan amal atau ibadat dengan disertai berkehendak kepada syurga atau pahala, ini bermakna tidak ikhlas namanya, sedangkan mengikut ilmu TASAUF batal pahala amal yang kita kerjakan. Mengikut firman pula, tiap-tiap amal atau ibadat mestilah dengan ikhlas, jika tidak amalan itu ditolak oleh Allah.
Contohnya; didalam sembahyang kita sebut sahaja aku sembahyang, jadi sahaja aku sembahyang itu kita hendak letak dimana?. Sebenarnya perkataan sahaja itu terletak dihamba, dari itu jikalau hamba membuat satu-satu kerja tidak layaklah hamba itu meminta balasan atau bayaran, sebab Allah menyebut kepada kita hamba bukan kuli. Jikalau kuli tidak diberi upah atau bayaran sudah pastilah kuli tersebut tidak akan membuat sebarang kerja walaupun diperintah. Seorang hamba apabila membuat kerja mengikut perintah tuannya bukan kerana upah atau gaji. Sedangkan kuli membuat kerja kerana mengharapkan upah atau gaji, jadi kenalah faham betul-betul perbezaan antara kuli dengan hamba.
Seorang hamba mendapat ganjaran atau habuan diatas ikhsan tuannya, kerana tuan itu melihat hambanya rajin berkerja dengan ikhlas, tekun dan sabar sehingga tidak mengenal penat dan lelah, maka timbullah rasa kasihan tuannya itu kepada hambanya, lalu tuan itu memberi hadiah atau saguhati untuk hambanya. Oleh itu kita hendak masuk syurga atau mendapat pahala bukanlah kerana amalan, tetapi kerana keikhlasan dan juga kerana Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah. Sekiranya kita masuk syurga kerana amalan kita, bermakna syurga dan pahala itu boleh dibeli dan seolah- olah baharu boleh memberi bekas. Dari itu jikalau kita beramal dan beribadat kerana takut dosa dan hendakkan pahala, bermakna kita dengan Allah ibarat kuli bukannya hamba, dan kiranya tidak mendapat upah atau bayaran sudah pasti tidak mahu buat kerja.
Seperkara lagi kerana takut dihukum dan juga kerana perintah, jikalau tidak sudah pasti siapa pun tidak mahu buat kerja, ini juga termasuk perkara-perkara yang tidak ikhlas. Jikalau begitu dimanakah hendak diletakkan LILLAHITA'ALA?. Dan jikalau kita beribadat kerana menuntut sesuatu, dan jikalau begitu apa yang kita ucapkan tidak setentang dengan apa yang kita niatkan. Kita ucapkan kerana Allah, tetapi kita niat kerana syurga atau pahala, tentulah ini juga termasuk didalam golongan munafik, kerana kita lakukan bukan kerana Allah, tetapi kerana hendaklah syurga dan takut pada neraka, yakni bukan kerana Allah tetapi kerana HAK Allah.
Kesimpulannya jikalau Allah tidak buat syurga dan neraka sudah mesti kita tidak akan mengerjakan ibadat, dan jikalau kita periksa betul-betul diri kita, pada kebiasaannya apa-apa ibadat dan amal kerana HAK TAALA, bukan kerana Allah sebenarnya. Pembalasan syurga dan neraka itu adalah janjian Allah kepada hambanya, setimpal dengan perilaku hambanya didunia. Baik balasannya syurga dan jahat balasannya neraka, bukanlah bermakna disuruh hamba itu menuntutnya, kerana tugas hamba itu ialah memperhambakan dirinya zahir dan batin, dan terpulanglah kepada tuannya untuk meneracai keperhambaannya. Kita sebagai hamba dengan ikhlas wajib memperhambakan diri sepenuhnya.
FEKAH
Sebelum kita hendak mengerjakan sembahyang, kita perlu ketahui cara-cara hendak bersuci dan cara-cara hendak mengangkat udhuk atau mengambil air sembahyang, dan ini semua diterangkan secara terperinci didalam ilmu FEKAH. Ilmu FEKAH ini kita ibaratkan dengan cara-cara hendak memegang jala sebelum kita menebarnya kedalam air. Jala tersebut perlulah dibahagi kepada tiga bahagian, iaitu dibelakang, ditengah dan dihadapan, dan jikalau tidak mengikut peraturan ini wajiblah jala tersebut tidak akan kembang dan sudah semestinyalah tidak akan mendapat hasilnya. Ilmu FEKAH itu amat penting kerana kita perlu mengetahui cara-cara hendak mengerjakan amal, jikalau tidak mengetahui ilmu FEKAH bagaimana kita hendak mengerjakan sesuatu amal atau ibadat, sedangkan tiap-tiap satu rukun itu ada peraturan-peraturannya, dimana sekiranya kita tidak mengikut peraturan-peraturann yang telah ditetapkan, maka rukun atau ibadat itu batal dan tertolak (tidak sah).
TASAUF
Ilmu TASAUF pula diibaratkan sebagai batu jala, kita sudah pandai menjala dan juga pandai memeriksa tempat menjala, akan tetapi jalanya tidak ada batu, walaupun kita pandai menebar jala dan jala kita kembang, tetapi disebabkan jalan tidak ada batu, jalan tersebut kembang di atas air tidak pula turun kebawah dan matlamat untuk mendapat ikan jadi sia-sia. Kita sudah pandai syariat dan pandai cara-cara hendak beribadat, tetapi jikalau tidak mempunyai ilmu TASAUF pahala amal kita batal. Amal ibadat kita tetap sah, tetapi tidak ada hasil atau pahala, walaupun sifat kehambaan itu bukanlah menuntut pahala, akan tetapi amal ibadat kita tidak ada nilaian disisi Allah Taala, dan dengan sendirinya amalan kita tadi jadi sia-sia sahaja. Oleh sebab itulah kita wajib dan perlu mengetahui ketiga-tiga ilmu tersebut, terutama ilmu TASAUF, kerana ilmu TASAUF inilah hendak mengesahkan pahala amal.
Tauhid, fekah dan tasauf pula dipecahkan kepada beberapa cabang dan rantingnya iaitu; USUL FEKAH, USULLUDIN (SIFAT DUA PULUH), USUL TAHQIQ, TASAUF IBADAT dan TASAUF HAKIKAT. Usulludin setakat sifat 20, dipecah kepada empat bahagian iatu NAFSIAH, SALBIAH, MAANI dan MAANAWIYAH, dan juga dipecah kepada istiqna, istiqa, sifat kaya, sifat baqa dan tersimpulah aqidul iman. Apakah setakat itu sudah beriman?. Setakat usulludin hanya menceritakan dan memberitahu kita, bahawa Tuhan ada, Tuhan sedia, Tuhan bersalahan dengan yang baharu, Tuhan kekal, Tuhan melihat, Tuhan berkata-kata dll. Usulludin setakat menceritakan sahaja, tetapi yang melihat, berkata, berkuasa, mendengar itu dimana?. Lazimnya usulludin terhenti disini sahaja dan jika ditanya Tuhan itu ada dimana, paling tinggi jawapannya Tuhan itu tidak bertempat. Tidak bertempat macammana? pasti tidak dapat jawapannya dan kesudahannya dikatakan soalan bodoh atau soalan orang gila. Sebab itu kita perlu tahu dan mempelajari USUL TAHQIQ selepas usulludin, kerana dengan USUL TAHQIQlah kita dapat menyatakan Tuhan, iaitu yang mendengar, yang berkata dll tadi itu dimana?. Dengan usul tahqiqlah soalan-soalan tadi akan terjawab. Ibarat kita tanam padi dari membajak, menuai sehingga menyimpan itulah usulludin. Tetapi usul tahqiq diusahakan sehingga jadi beras, jadi nasi dan dicampur lauk pauk baharulah sempurna dimakan (sempurna amal). Cara-cara hendak memasak pun perlu diketahui, takut kalau-kalau nasi jadi lembik atau mentah, kerana tidak tahu menyukat air dsb. Cara-cara dan petua untuk menjadikan nasi itu sempurna kita ibaratkan TASAUF HAKIKAT. Tasauf ibadat pula hanya setakat untuk mengelakkan daripada riak, ujub, takabur, dll. Tasauf hakikat menyentuh tentang ketuhanan, kesedapan beramal dan kemanisan serta kelazatan dalam amal, ibarat nasi yang berlauk, bukan makan nasi semata. Apakah dihari ini kita sudah mendapat kemanisan dan kelazatan dalam beramal dan apakah yang sebenarnya yang dikatakan kemanisan dan kelazatan ? Oleh sebab itulah menjadi kewajipan kepada kita untuk mencari dan mengetahui ketiga-tiga ilmu tadi, supaya boleh mengetahui dan menghayati kemanisan dan kelazatan dalam beramal. Setengah-setengah pendapat mengatakan, tidak sembahyang tidak boleh duduk, gelisah dan sebagainya, itu yang katakan mereka kemanisan dan kelazatan. Jikalau setakat itu masih diperingkat ketagih, seperti orang ketagih rokok, tidak merokok tidak boleh duduk, gelisah dan sebagainya, yang itu bukan lagi kemanisan dan kelazatan namanya.
Yang dimaksudkan kemanisan dan kelazatan itu tidak siapa yang boleh menghuraikannya, hanya diri sendiri atau mereka yang biasa menempuhinya atau menikmatinya. Dengan cara ini baharulah kita akan mengetahui amalan kita itu diterima atau tidak. Untuk mencapai ketahap ini ialah dengan jalan MAARIFATULLAH iaitu mengenal akan Allah dengan sebenar-benar pengenalan. Jikalau kita tidak maarifat akan Allah, sudah pasti sama sekali kita tidak dapat melepaskan diri dari mensyirikkan Allah. Syirik ialah satu-satunya dosa yang tidak akan dapat keampunan, dosa-dosa lain Allah ampun, tetapi bagi dosa syirik tidak sama sekali.
Tanpa maarifat, amal ibadat tidak sempurna dan tidak akan telepas dari syirik. Tidak maarifat ertinya tidak kenal, maka apabila tidak kenal bagaimana hendak cinta, sedangkan pepatah ada berkata "tak kenal maka tak cinta". Kita kata kita cinta pada Allah, teetapi setakat mana kita cinta kepada Allah?. Sedangkan kita tidak kenal Allah. Apakah cinta kita kepada Allah setakat lima waktu sehari semalam sahaja?, entah-entah dalam lima waktu itu pun kita tidak dapat ingat kepada Allah, sebab tidak mengenal akan Allah. Sembahyang maksudnya ingat, Allah ingat kepada kita dua puluh empat jam sehari semalam, buktinya nafas kita yang turun naik tidak putus-putus duapuluh empat jam, kita ingat kepada Allah setakat lima waktu sahaja, lebih kurang lima puluh minit atau pun sejam, itupun mungkin cacat kerana tidak maarifat. Kata orang-orang hakikat, orang yang ulang alik pergi surau sembahyang lima waktu kerana perintah Allah itu jahat, sebab kerana perintah, tetapi jikalau tidak kerana diperintah mungkin tidak dibuatnya, itu yang dikatakan jahat. Orang yang baik, ialah orang yang sentiasa ingat kepada Allah sentiasa, setiap waktu, setiap ketika sama ada dalam sembahyang atau di luar sembahyang.
MAKSUD SEBENAR APA ITU SYIRIK DAN APA ITU ILMU
Firman Allah Maksudnya "Tahukah kamu orang-orang yang mendustakan agama?" (Al Ma'un ayat 1)
Maksudnya. Maka kecelakaan bagi orang-orang yang shalat . Orang-orang yang lalai didalam sembahyangnya" (Al Ma'un ayat 4).
Apakah Tuhan itu zalim, hinggakan orang yang sembahyang menyembahnya, hendak dilontarkan kedalam neraka wail, (orang yang lalai). Maksud lalai disini bukanlah sembahyang melengah-lengahkan waktu atau zohor sembahyang subuh tidak, magrib sembahyang isyak tidak, (begitulah setengah pendapat tok-tok alim zaman ini). Sebenar lalai yang dimaksudkan oleh Allah itu ialah orang yang didalam sembahyangnya ingat selain dari Allah, tidak kira orangitu ulamakkah, tok alimkah, tok lebaikah atau sesiapa sahaja, asalkan lalai didalam sembahyangnya masuk neraka. Orang-orang yang begini lalai pun kena dan dusta pun kena. Sebab apa dikatakan dusta?. Sebab tidak kenal, hendak ingat kepada seseorang itu mestilah kenal terlebih dahulu, tidak kenal tetapi dia kata dia ingat. Terang-terang orang itu berdusta. Sebab itu layaklah orang seperti itu dihumban oleh Allah kedalam neraka
Sebagai contoh; seorang jejaka ingat kepada seorang gadis, jejaka tersebut ingat sampai termimpi- mimpi, sebab jejaka tersebut kenal dengan gadis itu. Allah jadikan kita untuk mengenalnya dan Allah kenal akan kita baharu ada kenal mengenal antara satu sama lain. Jikalau kita sahaja yang ingat, bukan dinamakan cinta, tetapi dipanggil angau. Orang bercinta jikalau tidak dapat lihat orang yang dicintai, dapat pandang bumbung rumah kekasihnya pun sudah cukup. Sebab itu jikalau hendak cinta pada Tuhan, kenalah kenal betul-betul.
Hadis saw: Bertanya sahabat kepada Rasulullah, "Apa amal yang paling afdhal ya Rasulullah?" Sabda Rasulullah, "Maarifatullah". Bertanya lagi sahabat kepada Rasulullah."Amal apa yang terlebih pahalanya ya Rasulallah?'. Jawab Rasulullah, "Maarifatullah". Bertanya lagi kali ketiga oleh para sahabat, dan pada kali ini sahabat bukan lagi bertanya, tetapi membangkang. "Kami bertanya dari segi amal, kenapa engkau menjawab dari segi ilmu ya Rasulullah?'. (maarifatullah itu kaedah ilmu bukanlah kaedah amal). Menjawab Rasulullah, "Sedikit beramal dengan mengenal Allah, terlebih munafaat, banyak beramal dengan tidak mengenal Allah tiada munafaat!". Tujuan para sahabat bertanya kerana mereka tamak akan pahala, kerana mereka hendak bersungguh-sungguh beramal dengan yang banyak pahala, dan yang kurang pahala mereka hendak ringankan.
Kita selalu dengar dan terbaca didalam kitab-kitab atau buku-buku iaitu perkataan AWALLUDIN MAARIFATULLAH. Perkataan itu terdapat beberapa pendapat, atau percanggahan pendapat oleh ulamak-ulamak sekarang. Ada yang mengatakan bahawa perkataan tersebut bukanlah perkataan Rasulullah.
Dengan itu perkataan MAARIFATULLAH itu ialah perkataan nabi saw ini kerana berdalilkan hadis diatas. Akan tetapi berkemungkinan perkataan AWALLUDIN itu ditambah oleh para ulama dahulu berdasarkan hadis diatas tadi, iaitu "Sedikit beramal dengan mengenal Allah lebih munafaat dan banyak beramal dengan tidak mengenal Allah tiada munafaat". Jadi sebelum kita membuat amal, wajiblah kita kenal Allah terlebih dahulu, jika tidak sia-sia sahajalah amalan kita itu.
AGAMA
Apa erti agama?. Erti agama ialah suruh dan tegah, iaitu di suruh mentauhid dan ditegah mensyirikan Allah. Agama disisi Allah hanya ISLAM sahaja, kepada yang lain seperti nasrani, yahudi dll dipanggil kaum, bukan agama. Firman Allah
Maksudnya
"Katakanlah (wahai Muhammad ):’ Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah yang esa; Oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh Dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun didalam beribadat kepada Tuhannya". (Al-Kahfi: 110).
SYIRIK
Syirik terbahagi kepada dua, iaitu syirik jali dan syirik khafi.
Syirik jali ialah syirik yang terang iaitu seperti menyembah berhala, patung, pohon kayu atau apa-apa juga objek yang terdapat disekeliling. Sejahil-jahil orang Islam berkemungkinan tidak akan terkena kepada syirik jali. Syirik khafi pula ialah syirik yang tersembunyi, yang mana kita tidak sedari dan ketahui yang kita terkena kepada syirik. Bukanlah seperti tafsiran sesetengah ulamak masa kini, yang mana mereka tafsirkan syirik khafi itu ialah syirik kecil, atau syirik halus dan oleh kerana itu mereka meringankan dan meremehkan syirik khafi ini, seolah-olah boleh dikuis seperti seekor semut sahaja. Sedangkan syirik khafi inilah yang paling di takuti oleh ulamak-ulamak zaman dahulu. Walaupun syirik khafi namanya, tetapi hukumnya tetap syirik jali, sekiranya kita tidak mengenal Allah atau menyata akan Allah. Insyaalah kita akan buktikan di bab-bab yang akan datang.
Kita bertaubat siang malam dan pagi petang, tetapi syarat taubat tidak kita ikuti, iaitu; tinggalkan, menyesal dan tidak akan mengulangi lagi. Bagaimana hendak ditinggalkan dan menyesal, sedangkan kita tidak ketahui kita kena syirik. Sampai ke mati pun kita tidak ketahui yang kita kena syirik. Tetapi yang anehnya, kebanyakan cerdik pandai Islam sekarang mengatakan tidak mengapa, kerana syirik khafi ini halus, sekadar dosa kecil sahaja. Tetapi bagi ulamak-ulamak zaman dahulu, syirik khafi inilah yang paling ditakuti oleh mereka, syirik jali tidak perlu ditakuti kerana tidak ada orang Islam yang akan kena dengan syirik jali. Kita perlu waspada dengan syirik khafi ini, sebab itulah kita perlu atau wajib ambil tahu tentang syirik khafi. Bagi orang-orang hakikat, sebesar zarah kena syirik khafi seolah-olah sebesar gunung yang akan menghempap diri mereka, tetapi bagi orang-orang syariat, jikalau sebesar gunung pun mereka menganggap seperti seekor semut, yang dengan mudah mereka membuangkannya. Sabdu rasullallah saw; "Tidak akan masuk syurga, jika ada walau sebesar zarah syirik". Ini adalah amaran yang paling keras. Tetapi kini adakah cerdik pandai Islam mendedahkan perkara yang penting ini?. Perkara-perkara seperti ini jarang sekali kita dengar, malahan tidak pernah ada perbincangan secara terperinci didalam masyuarat Islam kita. Jikalau adapun datangnya dari sebilangan kecil guru-guru hakikat, itupun mendapat tentangan dan cemuhan, dan dituduh menyeleweng, sesat dsb. Yang paling menyedihkan ialah tuduhan dan cemuhan begitu datangnya dari apa yang dinamakan cerdik pandai Islam. Mereka ini menyuruh kita bincang bab lain banyak-banyak, tetapi tentang hakikat jangan dikaji dan dipelajari, nanti jadi sesat atau gila isim, dan dimasukkan pula kedalam internet, iaitu didalam senarai ajaran sesat. Amat menyedihkan didalam bilangan yang keempat belas, ILMU MENTAUHIDKAN ALLAH tercatit sebagai ajaran sesat. Jadi jikalau tidak boleh mentauhidkan Allah, buat apa lagi sembahyang sampai lebam dahi, lebih baik tidak usah, buang masa sahaja.
Syirik khafi setiap saat kita kena tetapi jikalau kita pelajari ilmu hakikat kita tahu kita kena, sebab ada isyaratnya, ibarat lampu isyarat yang merah. Jikalau buat ibadat banyak-banyak, tetapi tidak tahu kena syirik, kedalam nerakalah tempatnya, kerana Allah sudah tegaskan bahawa dosa syirik adalah dosa yang tidak diampun. Tidak kira syirik jali atau syirik khafi. Punca-punca kena syirik sebab tidak maarifat atau mengenal Allah. Itulah didalam Islam ada ilmu syariat, ilmu tarikat, illmu hakikat dan ilmu maarifat, keempat ilmu ini kenalah jalan seiring, jikalau tidak nerakalah tempatnya.
Sabda nabi saw; "Beramal tanpa ilmu sesat yang amat sangat, dan berilmu tanpa amal dosa yang amat besar". Orang yang berilmu jikalau beramal pasti menjadi, tetapi orang yang tidak berilmu membuat amal tidak menjadi dan sia-sia. Ilmu apakah yang dimaksudkan?. Jikalau ilmu sembahyang atau ilmu puasa, yakni ilmu fekah, tidak dinamakan sesat, tetapi dikatakan jahil sahaja. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu MAARIFATULLAH, iaitu ilmu mengenal Allah, Barang siapa yang tidak MAARIFATULLAH bukan sahaja duduk didalam kesesatan, bahkan sentiasa mensyirikkan Allah. Kaum kafir itu sesat kerana syirikkan Allah. Jikalau kita bertanya kepada yang sedang pegang gaharu sembah berhala, ini Tuhankah?. Nescaya jawabnya, "bukan, tuhan alah, sambil menuding jari telunjuknya keatas. Jikalau kepada orang Islam pula kita bertanya, engkau sembahyang sembah apa?. Tentu jawabnya, "sembah Allah". dan kita tanya lagi, dimana Allah?. Nescaya terpinga-pingat tidak tahu dimana, dan ada juga yang menuding jari telunjuknya keatas. Lagi teruk dari orang kafir, kerana orang-orang kafir sembah berhala sebab tidak tahu Allah, tetapi orang Islam tahu adanya Allah dan tidak tahu dimana (tak boleh nyata). Jikalau seperti ini, didalam neraka besok orang kafir kata, "Gua kencing luu kena", sebab kita duduk dibawah dari mereka.
Ada juga yang berkata, "kita ini muda lagi, esok bila sudah tua kita mengajilah". Perkataan begini seolah-olah mereka lebih pandai dan tahu dari Tuhan, sebab mereka tahu bila hendak mati, iaitu seperti maksud mereka mati tua. Ada pula seorang ahli kasyaf berkata, yang beliau baharu sahaja baligh tiga tahun, sedangkan usianya sudahpun tujuh puluh tiga tahun, kerana beliau baharu tiga tahun mengenal Allah. Kita tidak mahu baligh umur, tetapi apa yang kita mahu ialah baligh akal, maksudnya akallah yang dapat memaarifatkan Allah.
Apakah tujuan Allah jadikan kita?. Saja-sajakah?. Atau untuk apa? Sedangkan kita tahu Allah itu maha kaya dan maha kuasa, jikalau Allah tidak mencipta makluk pun tidak jadi apa-apa kepada DIA. Tetapi apa sebabnya diciptanya makhluk? Sebenarnya Allah ciptakan makhluk ialah untuk menyatakan akan diriNYA yang tidak nyata, jikalau DIA tidak mencipta makhluk, DIA hendak nyata dimana?. Bagaimana pula untuk menyatakan Allah?. Jawabnya dengan jalan MAARIFAT. Bagaimana pula hendak MAARIFAT?. Jawabnya dengan jalan TAUHID.
Didalam banyak-banyak makhluk ciptaan Allah, makhluk yang berbangsa insan sahajalah yang mendapat pujian dari Allah, kerana makhluk berbangsa insan sahajalah yang boleh dan lebih tepat untuk menyatakan diriNYA yang tidak nyata.
Firman Allah; Maksudnya:
"Sesungguhnya Aku telah menciptakan insan dengan bentuk semulia-mulia kejadian. Kemudian kami kembalikan ketempat yang serendah-rendahnya" (AT TIN: 4 dan 5).
Apakah sebabnya setelah dipujinya insan dan selepas itu dikembalikan kepada kehinaan?. Sebabnya, Allah jadikan insan untuk menyatakan diriNYA yang tidak nyata, tetapi apabila insan yang tidak dapat menyatakanNYA maka sia-sia sahajalah dijadikan insan itu. Sebab itu jikalau insan yang tidak boleh menyatakan Allah, tidak dipanggil insan, tetapi dipanggil manusia?. Yakni yang sia-sia didunia dan diakhirat. Allah hanya puji insan dan bukan manusia (Nas/Manusia), Allah puji insan yang boleh menyatakanNYA. Insan pun masih belum selamat.
Firman Allah;
Maksudnya :
"Demi masa, sesungguhnya insan (manusia) itu didalam kerugian, kecuali insan yang beramal soleh dan berpesan-pesan kearah kebaikan dan berpesan dengan kesabaran ".
( Al-Asri: 1, 2 dan 3 ).
Beriman yakni sentiasa NYATA akan Allah dan beramal soleh, sentiasa ingat akan Allah setiap masa dan detik.
Hendak menyata akan Allah, mestilah kenal, tetapi setakat mana kita kenal akan Allah?. Insyaalah kita akan cuba hurai dan fahamkan dengan kaedah ilmu ini di bab-bab seterusnya. Petikan firman, "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari fahsya dan mungkar". Tetapi jikalau sembahyang tidak dapat mencegah dari fahsya dan mungkar, sembahyang itu tidak terpakai dan jikalau sebenar sembahyang ia dapat mencegah dari perkara-perkara tersebut, kerana sebenar sembahyang ialah menyata akan Allah. Kemungkaran yang paling besar ialah mensyirik akan Allah. Jikalau sembahyang masih mensyirikkan Allah sampai bila-bila pun tidak dapat mencegah dari fahsya dan mungkar, kerana itu wajiblah kita ketahui bagaimana untuk dapat menyata akan Allah. Ada juga yang berkata apabila belajar ilmu hakikat, syariat tidak perlu ditunaikan, jikalau pendapat seperti itu, suruhlah dia berjalan dengan kaki sebelah, atau suruh dia letak nasi dihadapannya dan suruh nasi itu sendiri masuk mulutnya, jikalau dia boleh lakukan bolehlah dia tinggalkan syariat.
Perlulah ditegaskan lagi disini, bahawa SYARIAT, TARIKAT, HAKIKAT, MAARIFAT ialah satu gabungan yang utuh, yang tidak boleh dipisahkan, dan jikalau dipisahkan antara satu sama lain bermakna pincanglah amalan. Bolehlah diibaratkan disini; SYARIAT ibarat perlakuan kaki yang melangkah, TARIKAT ibarat jalan yang hendak dilalui, HAKIKAT ibarat ilmu sebenar atau bulat iktikad hendak ditujui, dan MAARIFAT ibarat tempat yang sebenar hendak ditujui. Dari itu dapatkah dipisahkan atau diceraikan antara keempat-empat gabungan tersebut?.
RENUNGAN
"Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku ingin diketahui. Maka aku menciptakan makhluk agar mereka mengenal Aku"
(Hadis Qudsi).
"Aku adalah 'Kanzun Mahfiyya' (yang terpendam dan tertutup). Aku ingin ditemukan dan dikenal. Aku ciptakan makhluk agar mereka mengenal Aku.
(Hadis Qudsi).
Sabda Rasul saw. Ilmu itu ada dua macam. Pertama: Ilmu lisan, sebagai hujjah Allah dan kepada hambanya. Kedua: Ilmu batin yang bersumber dilubuk hati, ilmu inilah yang berguna untuk mencapai tujuan pokok dalam ibadah.
DOA RASULULLAH
Ya Allah, tunjukkanlah kami bahawa kebenaran itu adalah sesuatu yang benar dan berilah kami kemampuan untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami bahawa kebatilan itu adalah sesuatu yang batil, maka itu berikanlah kami kemampuan menjauhinya". (hadis Nabi).